KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pemformalan terkini terhadap Pindaan Peraturan-Peraturan Perubatan 2025, menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerangka latihan perubatan pakar di Malaysia menurut kenyataan College of Physicians Malaysia
Kolej itu dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan langkah itu sebagai tepat pada masanya kerana ia memberi kesan kepada pindaan Akta Perubatan 1971, serta meletakkan asas kukuh untuk pendekatan latihan pakar yang lebih koheren, telus dan mantap dari segi perundangan di Malaysia.
“Penyelarasan struktur pengawalseliaan dengan keperluan kedua-dua laluan Parallel Pathway dan program Sarjana tempatan, pastinya akan meningkatkan keyakinan dan kejelasan dalam kalangan pelatih, pendidik serta institusi penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Kolej itu dalam kenyataan tersebut turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Kementerian Kesihatan (KKM), atas komitmen mereka dalam memajukan reformasi pendidikan perubatan.
Dzulkefly sebelum ini telah mengesahkan bahawa pindaan tersebut telah ditandatangani dan akan dikemukakan semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses pewartaan.
Dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pakar perubatan terlatih dalam menghadapi keperluan kesihatan yang semakin kompleks, kolej itu menekankan bahawa peluasan laluan latihan perlu disertai dengan peneguhan terhadap standard keselamatan, etika dan kecemerlangan klinikal yang tertinggi.
Kolej itu dalam kenyataan tersebut turut mengulangi komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan lain, bagi memastikan pindaan dilaksanakan secara adil dan berkesan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial