Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 22,000 Peniaga Berdaftar Di Bawah Program ReDI - Armizan

01/07/2025 02:47 PM

PAPAR, 1 Julai (Bernama) -- Sebanyak 22,368 peniaga di seluruh negara telah berdaftar di bawah Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) sejak ia dilancarkan pada Ogos 2022 hingga Mei tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata jumlah berkenaan melebihi sasaran 15,000 peniaga seperti yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Mei tahun ini pula, sebanyak 3,229 peniaga di seluruh negara berdaftar di bawah ReDI. Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 1,120 peniaga dan Sarawak (1,799)," katanya selepas Majlis Pelepasan Program Kembara ReDI peringkat Zon Sabah di sini hari ini.

Armizan berkata KPDN telah menganjurkan Kembara ReDI selama 10 hari bermula 26 Jun dengan lokasi pertama di Sematan, Sarawak dan dijadual berakhir pada 5 Julai di Tawau, Sabah.

Beliau berkata penganjuran Kembara ReDI Borneo 2025 merupakan langkah proaktif KPDN dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital.

"Fokus utama adalah penggunaan kemudahan e-dompet dalam urusan pembelian dan mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai di seluruh negara termasuk di luar bandar.

"ReDI menawarkan pengurusan kewangan yang efisien, peluang perkembangan perniagaan, kepelbagaian pilihan pembayaran dan juga pengurusan inventori berkesan yang boleh dimanfaatkan para peniaga," katanya.

Armizan berkata usaha berkenaan dilaksanakan melalui sokongan dan kerjasama rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia (BNM), PayNet dan pelbagai syarikat penyedia e-dompet yang berdaftar .

"Setakat lima hari Kembara ReDI Borneo 2025 berlangsung, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 3,708 orang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan