Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pameran Foto 'Echoes Of The Deep' Tingkat Kesedaran Lindungi Ekosistem Marin

30/06/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pameran foto Echoes of the Deep: Pulau Sembilan Reborn menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pukat hantu, sekali gus menggalakkan amalan melindungi ekosistem marin dalam kalangan rakyat serta pihak industri.

Pameran anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) itu berlangsung selama sebulan bermula hari ini di Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) di sini, menampilkan 30 koleksi gambar bawah laut yang dirakam di perairan sekitar Pulau Sembilan, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata pulau itu dipilih memandangkan pukat hantu yang ditinggalkan di dasar laut perairan yang kaya dengan biodiversiti marin itu mengancam hidupan dan ekosistem terumbu karang.

“Jadi, pameran ini bukan sekadar penceritaan visual, malah adalah seruan untuk bertindak melibatkan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak universiti dan pihak persatuan serta industri dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dan pemuliharaan lautan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran pameran itu di sini hari ini.

Pameran yang dianjurkan dengan kerjasama Etiqa General Takaful Berhad (EGTB), Persatuan Pencinta Alam & Oseanografi (NOAS) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) itu berlangsung sehingga 30 Julai ini dan dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Mohd Radzuan berkata MTA turut menganjurkan aktiviti pembersihan pantai dan dasar laut yang bertujuan memperkasakan golongan belia dan sukarelawan komuniti melalui pendidikan serta usaha pemuliharaan.

“Program pembersihan pantai dijalankan untuk membersihkan pukat-pukat hantu yang ditinggalkan di dasar laut melibatkan pihak universiti dan sebanyak 50 pelajar dihantar ke Pulau Pangkor, sekali gus ia meningkatkan kesedaran kepada generasi muda bagi menjaga ekosistem marin dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EGTB Shahrul Azuan Mohamed dalam kenyataan berkata pihaknya komited terhadap isu kelestarian alam sekitar dengan melaksanakan pelbagai program.

“Selari dengan visi Menjadikan Dunia Tempat Yang Lebih Baik, Etiqa sejak tahun 2022 telah melindungi lautan menerusi tiga Projek Pemuliharaan Marin bersama pakar marin. 

“Daripada pemantauan kesihatan terumbu karang, bengkel pendidikan sehinggalah kepada program libat urus komuniti, kami memberi impak di tempat yang benar-benar memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan