KLANG, 30 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menjenamakan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu di Sarawak kepada UPM Sarawak (UPMS).
Baginda bertitah penjenamaan semula itu dibuat sebagai langkah strategik UPM dalam mengembangkan peranannya sempena 50 tahun penubuhan universiti berkenaan, yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia, di Sarawak.
"Beta amat berbangga dengan pencapaian universiti ini yang bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian, perhutanan dan keterjaminan makanan tetapi juga muncul sebagai pemangkin pembangunan negara terutama di Sarawak serta menjadi institusi berdaya saing di rantau Borneo dan antarabangsa.
"Beta berharap usaha dan komitmen UPM ini dapat diteruskan untuk membangunkan bakat dan kepakaran bagi kemajuan sosioekonomi negara terutama di Sarawak melalui Pelan Tindakan Keterjaminan Makanan UPM yang telah dibangunkan," titah baginda pada Majlis Pengisytiharan UPMS di sini hari ini.
Mengiringi baginda pada majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu, Abang Johari dalam ucapannya berkata pemerkasaan UPMS selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) khususnya dalam sektor pertanian, perhutanan dan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata antara inisiatif UPMS yang membanggakan ialah pelaksanaan projek AgriHub@Gedong yang merupakan hasil kerjasama strategik universiti itu dengan Pejabat Premier Sarawak.
"Projek ini bertujuan menerajui transformasi kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong dan merupakan titik permulaan penting dalam usaha membangunkan Sarawak sebagai hab pengeluaran padi berimpak tinggi di peringkat nasional," katanya.
Abang Johari berkata selaras dengan komitmen Sarawak terhadap pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik, Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) akan ditubuh dengan kerjasama UPMS dalam menyokong aspirasi Keterjaminan Makanan.
"Penubuhan sekolah ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar sekali gus memperkukuh kelestarian industri ternakan serta peningkatan tahap kesihatan haiwan di Sarawak," katanya yang turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk menyalurkan dana bagi memastikan kemampanan SVAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial