PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Pasaran buruh Malaysia terus pulih pada 2024 dan dijangka kekal stabil sepanjang tahun ini seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan, menurut Statistik Tenaga Buruh Tahunan, Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Menurut DOSM, pasaran buruh pada tahun lepas terus mencatatkan prestasi memberangsangkan, dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, di bawah paras prapandemik 3.3 peratus yang direkodkan pada 2019.
"Begitu juga, bilangan penganggur berkurang kepada 534,100 orang, dengan sebahagian besar penurunan disumbangkan oleh golongan belia berusia 15 hingga 24 tahun.
"Dalam masa yang sama, tenaga buruh meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 16.9 juta orang pada 2024 berbanding 16.37 juta orang pada tahun sebelumnya. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) turut meningkat kepada paras tertinggi yang baharu, iaitu 70.6 peratus berbanding 70 peratus pada 2023," menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.
DOSM memaklumkan bilangan penduduk bekerja terus mencatatkan pertumbuhan tahunan yang positif, meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada 16.37 juta orang berbanding 15.81 juta orang pada tahun sebelum itu.
"Sejajar dengan itu, nisbah guna tenaga kepada penduduk turut meningkat sebanyak 0.7 mata peratus kepada 68.4 peratus tahun lepas berbanding 67.7 peratus pada 2023," menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan merujuk kepada taraf pekerjaan, 78.5 peratus daripada penduduk bekerja merupakan kategori pekerja manakala bilangan kategori penduduk bekerja sendiri meningkat kepada 2.52 juta orang, menyumbang 15.4 peratus daripada jumlah guna tenaga.
Majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam kategori pekerjaan separuh mahir, merangkumi 56.5 peratus daripada jumlah guna tenaga atau bersamaan 9.26 juta orang, diikuti oleh pekerja mahir (4.94 juta orang) dan kategori pekerjaan berkemahiran rendah (2.17 juta orang).
Dari sudut sektoral, guna tenaga kekal didominasi sektor perkhidmatan yang terus mencatatkan trend peningkatan dan merangkumi 65.6 peratus daripada jumlah guna tenaga, diikuti sektor pembuatan sebanyak 16.3 peratus dan sektor pertanian dengan 9 peratus.
Selain itu, sektor pembinaan merekodkan 8.5 peratus daripada jumlah guna tenaga manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan sumbangan terkecil, iaitu 0.5 peratus.
Jabatan itu menjelaskan melihat kepada situasi guna tenaga yang tidak penuh pada tahun lepas, bilangan mereka yang bekerja kurang 30 jam seminggu disebabkan keadaan kerja atau kerja yang tidak mencukupi, menurun sebanyak 6.1 peratus kepada 212,500 orang berbanding 226,300 pada 2023, dengan kadarnya susut kepada 1.3 peratus berbanding 1.4 peratus.
Pada peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar pengangguran terendah pada 1.1 peratus dan mencatatkan KPTB tertinggi dengan 78.7 peratus manakala lima negeri merekodkan KPTB perempuan melebihi paras nasional 56.5 peratus, iaitu Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Pulau Pinang.
Bilangan penduduk luar tenaga buruh pula mencatatkan sedikit peningkatan kepada 7.02 juta orang yang majoriti kekal tidak aktif disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan sumbangan sebanyak 43.1 peratus, diikuti kategori bersekolah atau latihan yang meliputi 41.3 peratus.
Memandang ke hadapan, DOSM memaklumkan pasaran buruh negara akan kekal berdaya tahan pada 2025 disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang dijangka sederhana, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta inisiatif seperti Rangkaian Kampung ASEAN yang bertujuan memperkasakan pembangunan luar bandar dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial