Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penganjuran Rimba Raid Beri Impak Besar Industri Pelancongan, Bantu TMM 2026 - Shamsul Anuar

30/06/2025 10:28 AM

LENGGONG, 30 Jun (Bernama) -- Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Rimba Raid X Lenggong memberi impak besar kepada industri pelancongan negara, termasuk merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata penganjuran Rimba Raid X Lenggong untuk kali kedua di Perak secara tidak langsung menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 melalui liputan antarabangsa serta kehadiran peserta dari pelbagai negara.

“Rimba Raid X Lenggong disertai pelumba dari Indonesia, Singapura, Taiwan, China, Hong Kong, India, Jepun, Thailand serta beberapa negara Eropah, selain tuan rumah, Malaysia.

“Mereka ini secara tidak langsung menjadi ‘duta pelancongan’ yang membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi sukan pelancongan kepada dunia,” katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Rimba Raid X Lenggong 2025 di Tasik Raban Resort di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengasas Rimba Raid Kapten Datuk Nik Huzlan Nik Hussain.

Rimba Raid X Lenggong 2025 menampilkan enam kategori perlumbaan bagi memberi peluang kepada pelbagai jenis jentera dan tahap pengalaman peserta.

Pembahagian kelas ialah Kelas A bagi motosikal pelbagai silinder melebihi 1,000cc, Kelas B (motosikal pelbagai silinder antara 250cc hingga 999cc), Kelas C (motosikal satu silinder antara 250cc hingga 800cc) dan Kelas D (Adventure Kapcai, khas untuk motosikal kecil yang diubah suai untuk kegunaan pengembaraan lasak).

Dua lagi ialah Kelas E membabitkan Adventure Skuter, genre yang semakin popular dalam kalangan penunggang urban dan pengembara ringan, serta Kelas F (E-bike (motosikal elektrik), mencerminkan perkembangan teknologi dan kelestarian dalam sukan permotoran).

Sementara itu Nik Huzlan berkata keputusan pertandingan yang sepatutnya diumumkan malam tadi terpaksa ditangguhkan ekoran isu teknikal.

“Jawatankuasa penganjur mengambil keputusan menangguhkan pengumuman keputusan selepas berlaku masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Satu tarikh baharu berkenaan keputusan pertandingan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat serta dijangka akan diumumkan esok (Isnin),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan