Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MyGOV Malaysia, Transformasi Digital Urusan Perkhidmatan Awam

29/06/2025 11:05 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- MyGOV Malaysia, gerbang digital tunggal negara untuk perkhidmatan awam yang bakal dilancarkan bulan depan dijangka merevolusikan cara rakyat berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan sekali gus menjadikan urusan lebih mudah, pantas, dan efisien.

MyGOV Malaysia adalah aplikasi mudah alih bersepadu bagi perkhidmatan kerajaan yang menawarkan kemudahan capaian perkhidmatan secara mudah alih (mobile) bagi memenuhi keperluan rakyat, penjawat awam dan perniagaan. 

Melalui aplikasi itu, rakyat dapat melakukan semakan, permohonan serta menerima notifikasi perkhidmatan agensi kerajaan, antaranya semakan saman, aspek kebajikan serta khidmat untuk pesara.

Pensyarah Kanan Sains Komputer Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban Prof Madya Dr Siti Salwa Salleh berkata pengenalan aplikasi itu langkah tepat yang menyokong transformasi digital kerajaan ke arah perkhidmatan lebih efisien.

“Ia satu peningkatan akses rakyat kerana mereka  boleh capai maklumat dan perkhidmatan tanpa had masa dan lokasi.

-- LAGI

 

MYGOV-PERKHIDMATAN 2 PUTRAJAYA

 

“Pengenalan aplikasi itu akan memudahkan urusan antara rakyat dan kerajaan tanpa perlu ke kaunter fizikal sekali gus mengurangkan birokrasi,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata aspek komunikasi serta pemahaman tentang aplikasi kepada pengguna perlu ditingkatkan supaya pengenalan aplikasi dapat dimanfaatkan sepenuhnya. 

Mengenai persepsi kebimbangan pengguna terhadap keselamatan dan privasi data dalam aplikasi itu, beliau berkata kerajaan perlu menyediakan maklumat jelas kepada orang awam tentang bagaimana data mereka dikumpul, disimpan dan dilindungi.  

“Paparkan polisi privasi secara terbuka dan mudah difahami di portal rasmi. Kejayaan pelaksanaan MyGov memerlukan pendekatan komunikasi berterusan, latihan, sokongan teknikal, dan perubahan pembudayaan teknologi yang inklusif,” katanya. 

Pensyarah Kejuruteraan Mekatronik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Yasir Mohd Mustafah berkata pengenalan aplikasi MyGov Malaysia akan memudahkan urusan dan menjimatkan masa semua pengguna dalam berurusan dengan agensi dan jabatan kerajaan. 

-- LAGI

 

MYGOV-PERKHIDMATAN 3 (AKHIR) PUTRAJAYA

 

“Dengan perkhidmatan yang boleh diakses dengan mudah 24 jam secara dalam talian, pengenalan aplikasi ini akan membantu dalam mentransformasikan sektor perkhidmatan di Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding kaedah manual,” katanya. 

Sementara itu, Yasir menyeru kerajaan untuk terus memperkukuh aspek keselamatan siber serta segera meminda Akta Perlindungan Data Peribadi untuk merangkumi entiti kerajaan sendiri.

“Dalam aspek keselamatan data pula, walaupun aplikasi ini dikatakan tidak menyimpan data peribadi pengguna secara langsung, bahaya masih wujud, contohnya melalui kebocoran sistem backend atau serangan siber terhadap individu,” katanya. 

Sebelum ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata gerbang digital tunggal negara bagi perkhidmatan awam atau MyGOV Malaysia akan dilancarkan bulan depan.

Gobind berkata aplikasi mudah alih itu sebahagian daripada inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) negara yang bertujuan memudahkan rakyat negara ini mengakses pelbagai agensi kerajaan dengan mudah.

Aplikasi mudah alih itu memfokuskan kepada tujuh perkhidmatan utama, iaitu perjalanan (urusan pasport); pendaftaran (kelahiran dan kewarganegaraan); pemanduan (cukai jalan dan lesen memandu) serta kesihatan (janji temu perubatan dan rekod kesihatan).

Aplikasi itu turut melibatkan perkhidmatan saman (semakan dan bayaran); perumahan (cukai tanah dan cukai taksiran) serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

-- BERNAMA

 

TAG: MyGov Malaysia, perkhidmatan, saman, komunikasi, kebajikan


MASM NHIZ AYU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan