Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ATM Perlu Bersedia Dilengkapi Teknologi Pertahanan Terkini - Agong

28/06/2025 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Landskap politik global yang semakin mencabar dan tidak menentu ketika ini menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa bersedia dan dilengkapi teknologi pertahanan terkini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah peperangan antara Iran dan Israel serta konflik berpanjangan di Gaza, jelas menunjukkan undang-undang antarabangsa juga tidak mampu untuk memelihara keamanan dunia.

“Adalah penting bagi Angkatan Tentera Malaysia untuk sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Ini kerana kita tidak tahu siapakah kawan dan siapakah lawan,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia di Kem Perdana, Sungai Besi di sini hari ini.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut mengingatkan kerajaan supaya menentukan tidak ada campur tangan politik ataupun pengaruh daripada syarikat pembekal dalam semua proses perolehan peralatan.

“Pucuk pimpinan ATM juga hendaklah sentiasa amanah dan tidak terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah. Selaku pemerintah tertinggi ATM, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” titah Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut menegur budaya penggunaan media sosial dalam kalangan anggota tentera dan mengingatkan mereka supaya tidak memuat naik semua perkara, khususnya maklumat berkaitan pasukan lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif berkenaan pasukan itu.

Peperangan antara Iran dan Israel menunjukkan kedua-dua pihak dengan mudah menggunakan maklumat yang diperoleh daripada syarikat-syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan.

“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum. Adalah lebih baik kita beringat, supaya tidak menyesal kelak di kemudian hari,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada 509 pegawai kadet yang tamat latihan hari ini dan mengingatkan mereka bahawa kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut pengorbanan yang tinggi, kekuatan diri, kejujuran, serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.

Seri Paduka Baginda menasihati mereka supaya menjadi seorang ketua yang sentiasa menitikberatkan disiplin, melatih anggota, dan sentiasa menghargai serta menjaga kebajikan mereka, selain merakam penghargaan kepada ibu bapa yang sudi membenarkan anak kesayangan mereka berkhidmat dalam ATM.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan