Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Presiden Republik Kyrgyz Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

25/06/2025 10:21 AM

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi ini.

Ketibaan Zhaparov di Kompleks Perdana Putra pada 9 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan majlis sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Zhaparov kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan barisan Jemaah Menteri, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Presiden Zhaparov kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Menurut Kementerian Luar, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Mereka akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan, selain pertukaran nota dalam sektor belia dan latihan untuk diplomat serta surat hasrat mengenai kerjasama perundangan.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden Zhaparov ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.

Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan Perdana Menteri ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.

Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74 juta).

Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti manakala import utama Republik Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

Malaysia dan Republik Kyrgyz menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992 selepas Kyrgyzstan memperoleh kemerdekaan susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan