KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Kampung Batu Puteh di Kinabatangan berjaya menjana RM9.9 juta melalui sektor pelancongan sejak 2014 hasil daripada Program Desa Lestari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata ia adalah impak yang amat membanggakan dengan sebanyak RM12.75 juta telah dilaburkan kerajaan di Sabah melalui program berkenaan yang mencipta 750 peluang pekerjaan serta memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk.
Beliau berkata pelaburan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar terutama di Sabah yang masih memerlukan banyak penambahbaikan.
"Namun saya akui, khususnya di Sabah ini, masih banyak belum lengkap, masih ada yang jauh daripada sempurna… banyak perlu diteruskan dan ditambah baik.
"Sebagai Menteri menerajui kementerian yang menguruskan desa dan wilayah, saya mahu Sabah terus disantuni dan maju ke hadapan," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid berkata kerajaan juga tidak pernah mengabaikan sektor modal insan di Sabah dengan pembukaan Maktab Rendah Sains MARA Ranau pada tahun lepas yang mampu menampung 450 pelajar luar bandar selain terus membantu dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata kerajaan telah melantik seramai 2,302 ahli Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI (JKDM) di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM11 juta bagi Fasa 1 2025 khusus untuk elaun dan gerak kerja menyantuni rakyat Sabah.
"Saya mahu JKDM memainkan peranannya menjadi pencetus perubahan, pemudah cara bantuan. Kalau ada rumah yang roboh JKDM yang lapor. Kalau ada ibu tunggal yang tercicir bantuan - JKDM yang bantu mohon. Kalau anak muda menganggur, JKDM cari peluang latihan atau pekerjaan," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata tanggungjawab itu bukan kerja bermusim sebaliknya amanah sepanjang masa, justeru beliau tidak mahu JKDM yang hanya tahu 'hadir di majlis tetapi hilang ketika di kampung.'
Beliau juga menekankan kepentingan pemimpin akar umbi terutama JKDM dalam menangani isu kemiskinan tegar di Sabah yang masih berada pada tahap membimbangkan.
“Di sinilah peri pentingnya kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan... bukan dengan bermain slogan atau meniup semangat sempit tetapi dengan benar-benar mencipta solusi... yang kita perlukan hari ini ialah kesepakatan untuk membina, bukan perpecahan untuk menjatuhkan.
“Sabah bukan negeri pinggiran. Sabah adalah rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia. Inilah semangat yang disepakati sejak Perjanjian Malaysia 1963, inilah semangat yang ada dalam jiwa saya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial