Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Siti Khadijah Lancar Koleksi Baharu "Maharani"

24/06/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Selepas 10 tahun tanpa pengenalan reka bentuk muka baharu, pelopor pakaian ibadah serta produk gaya hidup, Siti Khadijah hari ini tampil dengan koleksi terbaharu yang diberikan nama “Maharani”.

Pengasasnya Padzilah Enda Sulaiman berkata reka bentuk muka keenam itu hadir sebagai simbol evolusi dan penghormatan buat wanita yang menyokong keanggunan, keteguhan dan warisan, nilai yang menjadi tunjang jenama itu sejak ditubuhkan pada 2009.

“Maharani bukan sekadar wajah baharu, ia cerminan perjalanan panjang kami (Siti Khadijah) dalam meneliti dan memahami keperluan sebenar wanita. Prosesnya memakan masa, namun setiap langkah diiringi dengan ketelitian dan penuh makna,” katanya pada majlis pelancaran berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata Maharani adalah kesinambungan kepada dua reka bentuk muka ikonik terdahulu iaitu Original yang diperkenalkan pada 2009 dengan menonjolkan “awning” keras, dan Harmoni (2016) yang menyerupai tudung atau inner pada bahagian dahi, menjadikannya lembut dan ringan untuk keselesaan sepanjang hari.

Padzilah Enda berkata nama Maharani terinspirasi daripada penggunaan awning yang membawa simbolik seolah-olah memakai tiara pada kepala menjadikannya elemen utama dalam penampilan berhijab.

“Elemen itu menjadikan Maharani sebagai reka bentuk muka yang praktikal dari segi fungsi dan anggun dari segi rupa, sekali gus menjadi bukti inovasi berterusan Siti Khadijah dalam menitipkan ketenangan pada setiap ciptaan produk,” katanya.

Sebagai pelengkap kepada pelancaran tersebut, Siti Khadijah turut memperkenalkan tiga koleksi telekung terbaharu yang menampilkan reka bentuk muka Maharani sebagai identiti utama.

“Tiga koleksi itu ialah Broderie Zahara, dengan perincian sulaman klasik penuh keanggunan; Flair Sabira, yang mengetengahkan potongan flowy moden bertekstur ringan; serta Modish Maira Midi dengan ukuran kelabuhan yang sangat sesuai untuk kegunaan di Tanah Suci.

“Kesemua koleksi ini dihasilkan atas prinsip keselesaan, kehalusan rekaan dan gaya moden yang sejajar dengan nilai dan estetika jenama Siti Khadijah,” katanya.

Koleksi telekung Maharani akan mula dipasarkan melalui platform dalam talian bermula hari ini manakala di butik terpilih mulai Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan