BUKIT MERTAJAM, 22 Jun (Bernama) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengoperasian Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) dan Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) sekiranya pengusaha didapati gagal mematuhi kehendak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Menterinya Steven Sim berkata tindakan itu selaras dengan komitmen kerajaan memastikan kebajikan pekerja asing dilindungi tanpa mengabaikan ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian susulan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan pekerja asing di sebuah penginapan TLQ beroperasi di sebuah hotel di sini, Jumaat lalu, yang menimbulkan kegusaran penduduk tempatan.
Menurutnya Akta 446 menggariskan penyediaan perumahan yang sesuai serta kemudahan asas kepada pekerja asing, namun aspek kebajikan, keselamatan dan disiplin pekerja turut perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kesan negatif kepada masyarakat setempat.
“Konsep CLQ dan TLQ diwujudkan bagi memastikan penempatan pekerja asing dilakukan secara berpusat dan terkawal tanpa mengganggu persekitaran komuniti setempat.
“Saya telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha TLQ terbabit dan memberi peringatan tegas agar mereka tidak mengabaikan tanggungjawab. Sekiranya berlaku pelanggaran, saya tidak teragak-agak mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen operasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye dan Timbalan Pengarah JTK Pulau Pinang A. Thanavalli.
Mengulas lanjut, Sim berkata permit pekerja asing syarikat juga boleh dibatalkan jika berlaku kegagalan pengurusan, namun tindakan itu bukan bermotif menghukum, sebaliknya bagi memastikan kepentingan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.
Beliau turut memaklumkan bahawa hotel di Bukit Mertajam yang dijadikan TLQ itu telah memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sehingga 2027, serta mendapat perakuan daripada JTK.
Katanya seramai 1,113 pekerja migran mendiami TLQ itu terdiri daripada 946 warga Bangladesh diikuti Nepal (129) dan 38 warga Myanmar.
Mengulas insiden kekecohan yang berlaku malam Jumaat lalu, Sim berkata ia berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan pekerja migran terhadap seorang penyelia yang dipercayai mengambil wang mereka bagi tujuan tertentu tanpa pengetahuan pihak majikan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 46 lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden kekecohan di pekarangan hotel berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial