Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pertubuhan Masyarakat Sivil Rakan Penting Dalam Usaha Perkukuh Perpaduan - Aaron

21/06/2025 08:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang berpengaruh di peringkat akar umbi adalah rakan penting dalam membentuk Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu padu dalam usaha memperkukuh perpaduan nasional.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam mana-mana negara yang berbilang kaum, tanggungjawab untuk membina serta mengekalkan perpaduan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen kolektif daripada semua lapisan masyarakat termasuk CSO.

Beliau berkata CSO memainkan peranan penting kerana mereka berada dekat dengan masyarakat, sekali gus dapat mengenal pasti tanda-tanda ketegangan sosial, salah faham budaya atau diskriminasi serta boleh campur tangan secara membina sebelum isu-isu berkenaan menjadi lebih parah sehingga mencetuskan perpecahan atau konflik.

“Tidak seperti agensi kerajaan yang beroperasi melalui struktur dan prosedur rasmi, CSO berinteraksi dengan komuniti secara lebih dekat, mudah diakses dan konsisten seperti di kawasan kejiranan, luar bandar dan penempatan bandar, malah sering menjadi titik sentuh pertama bagi individu yang berasa terpinggir,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Muhibah 2025 anjuran The Pure Life Society di sini hari ini.

Aaron berkata CSO penting sebagai suara yang dipercayai dan neutral serta menjadi jambatan yang berwibawa antara pelbagai komuniti, terutamanya dalam perbincangan berkaitan kaum, agama dan identiti yang boleh menjadi isu sensitif atau dipolitikkan.

“Apabila CSO menyuarakan keperluan untuk saling memahami dan menghormati, mereka sering melakukannya dengan kewibawaan moral hasil daripada kerja-kerja komuniti di luar kerangka kepartian  yang telah dilaksanakan selama bertahun-tahun.

“Kepercayaan ini membolehkan mereka menghimpunkan pihak-pihak berbeza, menggalakkan dialog yang sukar tetapi perlu, serta menjadi perantara apabila berlaku perselisihan,” katanya.

Beliau berkata CSO melengkapi usaha kerajaan, khususnya dalam komuniti yang terpencil dan terpinggir.

Aaron berkata keupayaan mereka untuk menjangkau golongan yang dipinggirkan memastikan mesej perpaduan bukan sekadar mendapat perhatian dalam pembuatan dasar, tetapi turut dihayati dalam kehidupan seharian.

“Ringkasnya, pertubuhan masyarakat sivil memainkan peranan penting kepada perpaduan negara di peringkat akar umbi.

“Mereka mengangkat suara rakyat, membina hubungan, mewujudkan ruang selamat untuk dialog dan memastikan kita berpegang kepada nilai-nilai kebangsaan. Usaha mereka mungkin tidak selalu mendapat liputan media, namun impaknya sangat besar dan berkekalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan