Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Palanivel Tokoh Bijak, Sentiasa Tenang Tangani Pelbagai Isu - Ahmad Zahid

18/06/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang meninggal dunia semalam sebagai seorang tokoh yang bijak menangani pelbagai isu sama ada dalam kementerian mahupun parti.

Ahmad Zahid berkata Palanivel yang pernah bersama-samanya dalam jemaah menteri mempunyai sumbangan amat besar bukan sahaja kepada masyarakat India tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia secara amnya.

“Saya sangat menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada rakyat Malaysia keseluruhannya terutamanya kepada masyarakat India di negara ini.

“Beliau merupakan sahabat saya dalam Kabinet dan (memiliki) personaliti yang sangat baik. Beliau sangat tenang dalam menangani permasalahan di kementerian dan juga soal parti dengan penuh bijaksana,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar lebih-lebih lagi kedua-duanya pernah bersama di bawah satu kawasan Parlimen iaitu Cameron Highlands.

“Datuk Seri G. Palanivel merupakan kenalan dan sahabat saya. Kami pernah bersama di dalam bahagian kemasyarakatan iaitu mendiang ialah Ahli Parlimen Cameron Highlands ketika itu (2013), saya pula Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai dan exco kerajaan negeri,” katanya.

Katanya mendiang Palanivel banyak menyumbang kepada usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat di Jelai dan Cameron Highlands.

Palanivel, 76, meninggal dunia pada 8 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur dan meninggalkan isteri, Datin Seri P. Kanagam serta empat anak.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara menerusi Projek Lembah Bujang pada 1973 sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai wartawan kanan pada April 1977.

Pada 1984, beliau dilantik sebagai penyunting bagi berita dalam negeri dan ekonomi agensi berita itu sebelum dipinjamkan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu dari 1987 hingga 1990.

Palanivel aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1990. Beliau menerajui MIC pada 2010 selepas Samy Vellu berundur.    

Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada PRU 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008 dan kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai wakil rakyat bagi Cameron Highlands.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan