KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Shopee berhasrat meluaskan rangkaian eksport di seluruh Asia Tenggara dengan membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan termasuk usahawan wanita.
Shopee dalam kenyataan memaklumkan lebih 30,000 penjual Malaysia kini aktif di pasaran antarabangsa terutamanya di Singapura, Filipina dan Thailand dengan lebih 20,000 pesanan eksport dipenuhi setiap hari di negara-negara tersebut menerusi Platform Antarabangsa Shopee (SIP).
“Strategi pemerkasaan eksport Shopee direka untuk memenuhi keperluan penjual Malaysia pada pelbagai tahap kesiapsiagaan. SIP menawarkan penyelesaian menyeluruh yang membantu penjual Malaysia mencapai pembeli luar negara, dengan Shopee membantu menguruskan logistik rentas sempadan, khidmat pelanggan dan pemprosesan pembayaran.
“Dengan mengurangkan kerumitan operasi, SIP membolehkan penjual memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan mereka termasuk kualiti produk, kepelbagaian pilihan, dan pengoptimuman pemasaran,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Shopee memaklumkan usahawan wanita Malaysia terus mencatat kemajuan dalam perdagangan rentas sempadan dengan memanfaatkan e-dagang hasil sokongan akses lebih meluas kepada platform digital serta kerjasama kukuh dalam ekosistem eksport.
Kejayaan usahawan wanita tempatan itu merupakan antara mesej utama dikongsikan Shopee Malaysia pada Forum Women in Export (WiEX) 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada 10 Jun lepas, dengan Shopee dijemput menyertai sesi panel mengenai perluasan akses global melalui e-dagang di Menara MATRADE.
Dalam sesi bertajuk ‘Mengakses Pasaran Global melalui Platform Digital’, Ketua Pembangunan Perniagaan Shopee Saovanee Chan-Somchit berkongsi mengenai sokongan berstruktur kepada usahawan wanita tempatan memanfaatkan e-dagang untuk berkembang ke peringkat serantau.
“Di Shopee, kami bekerjasama dengan ratusan ribu PMKS di Malaysia dan kira-kira satu pertiga daripadanya diketuai wanita.
“Kami menyaksikan sendiri bagaimana usahawan wanita menunjukkan semangat luar biasa dalam mengatasi kekangan seperti kurang akses kepada latihan digital, tanggungjawab penjagaan keluarga serta risiko pasaran baharu. Peranan kami ialah menyediakan alat, infrastruktur dan bimbingan yang sesuai agar mereka dapat berkembang mengikut keperluan mereka,” katanya.
Sementara itu, program Malaysia-Singapore (MY-SG) Direct pula menawarkan peluang kepada penjual untuk mengurus dan membangunkan perniagaan mereka secara kendiri di Shopee Singapura dengan penjual menikmati kawalan penuh terhadap kedai mereka, termasuk harga, senarai produk dan promosi, sambil mendapat manfaat daripada logistik bersepadu, penyelesaian pembayaran, serta akses kepada kempen khas.
“Dengan lebih 5,000 penjual aktif dan 10,000 pesanan harian, MY-SG Direct merupakan laluan eksport berskala dan fleksibel untuk perniagaan yang bersedia membina jenama di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu.
Program-program berkenaan telah membuka peluang baharu kepada jenama tempatan milik wanita untuk berkembang melangkaui sempadan antaranya pengasas AUDIO KING Karen Ng Pei Voon yang menjual jenama elektronik tempatan, MOGAD.
Selepas menyertai program MY-SG Direct, perniagaannya mencatat peningkatan hasil sebanyak sepuluh kali ganda dalam tempoh enam bulan hasil penambahbaikan berterusan dalam senarai produk dan penyertaan dalam kempen bersasar.
Contoh lain ialah Joey & Mom, jenama keperluan bayi yang diasaskan oleh seorang ibu kepada dua anak Purani Selvaratnam yang menggunakan alat pemasaran Shopee, berjaya menembusi pasaran Singapura walaupun beroperasi sepenuhnya dari Malaysia yang membuktikan bahawa e-dagang boleh melengkapi tanggungjawab keluarga dan aspirasi perniagaan.
Turut memberi inspirasi ialah kisah Sheryn Chin yang memulakan perniagaan makanan bayi dari rumah telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui program MY-SG Direct Shopee walaupun berdepan cabaran awal dengan prosedur kastam rentas sempadan dan kesukaran dalam proses penyesuaian atau onboarding di platform lain.
Dengan memanfaatkan alat pemasaran Shopee, Sheryn menyertai kempen platform menggunakan insentif baucar untuk menarik pelanggan baharu dan meningkatkan keterlihatan produk dengan mengoptimumkan tajuk, penerangan dan visual senarai produknya.
Usaha strategik ini membawa kepada peningkatan berterusan dalam jumlah eksport yang kini mencecah ratusan pesanan setiap bulan dan kini, beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai jurulatih bertauliah Shopee Xpert dan mentor kepada usahawan wanita lain.
Saovanee berkata kisah-kisah itu bukan sahaja mencerminkan bakat keusahawanan, tetapi juga ketabahan dan kebijaksanaan wanita Malaysia dan pihaknya terinspirasi oleh kejayaan mereka serta komited untuk terus menyokong lebih ramai wanita agar dapat berkembang dengan yakin.
Beliau berkata pihaknya kekal komited untuk menjadikan e-dagang mudah diakses oleh semua dengan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan tempatan dalam mempercepat transformasi digital dan mencipta peluang dalam talian termasuk dengan MATRADE bagi menyokong pendekatan pembangunan eksport yang lebih tersusun dan berskala.
“Dengan panduan strategik MATRADE dan pengalaman meluas Shopee dalam menyokong PMKS, kami dapat lihat potensi yang kukuh untuk menyumbang kepada program berimpak tinggi ini sekali gus memperkasa usahawan wanita di seluruh negara,” kata Saovanee.
Forum WiEX yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan pelancaran Women Exporters e-Directory, inisiatif nasional untuk meningkatkan keterlihatan perniagaan milik wanita di pasaran global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial