KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Peruntukan RM30 juta bagi transformasi digital menyediakan peluang kepada pengamal media untuk memperoleh kemahiran baharu, menyesuaikan diri dengan gajet moden dan meningkatkan kualiti penceritaan.
Presiden Persatuan Wartawan Sabah Mariah Doksil berkata pihaknya melihat peruntukan itu sebagai pengiktirafan penting kepada pengamal media dalam membentuk masyarakat bermaklumat dan demokratik khususnya dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh Kecerdasan Buatan (AI) sekali gus memerlukan para wartawan dilengkapi kecekapan yang tepat untuk kekal relevan dan beretika.
“Kami berharap sebarang latihan atau program di bawah peruntukan ini akan membantu wartawan bukan hanya mengutamakan ketepatan fakta tanpa manipulasi AI tetapi juga mengekalkan jiwa dan empati dalam kewartawanan,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menekankan keperluan pelaksanaan yang inklusif selain menekankan kepentingan libat urus dengan persatuan media di peringkat negeri terutama Sabah dan Sarawak serta meminta agar petunjuk prestasi utama digariskan dengan jelas bagi mengukur kesan dengan lebih efektif.
Presiden Kelab Media Johor Mohamad Fauzi Ishak pula berkata peruntukan itu dapat digunakan untuk memperbanyak latihan berkaitan AI selain pemerkasaan teknologi baharu dalam penghasilan kandungan atau platform digital yang kini semakin mendapat tempat dalam kalangan audiens.
“Justeru, pengamal media sekarang perlu belajar dengan lebih aktif untuk menggunakan teknologi dalam dunia media supaya fungsi atau peranannya tercapai selaras dengat matlamat yang ditetapkan.
“Ini bagi membolehkan organisasi media menaikkan imej dan kewibawaan mereka sebagai penyampai maklumat yang pantas, cekap dan sahih,” katanya yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM).
Bagi Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) Yatimin Abdullah, media di negeri berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan itu dan mencadangkan supaya penganjuran bengkel seperti penggunaan AI diadakan secara berkala kepada pengamal media.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Dr Syed Agil Alsagoff berkata peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap usaha memastikan industri media kekal kompetitif dan relevan.
Menerusi sokongan kewangan itu, beliau berkata organisasi media dapat melabur dalam teknologi seperti AI, analitik data dan platform digital bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti kandungan yang dihasilkan.
“Namun seperti ditegaskan Perdana Menteri, penting untuk mengekalkan keseimbangan antara penggunaan AI dan etika kewartawanan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk organisasi media di negara ini melaksanakan transformasi digital dan penggunaan teknologi baharu dalam penghasilan bahan kandungan.
Sambutan HAWANA 2025, yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, adalah bertujuan mengiktiraf peranan serta sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial