KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Lebih empat dekad sejarah negara yang dirakam lensa jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dipamerkan kepada orang ramai menerusi reruai Bernama Images Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall di sini.
Pegawai Pemasaran Foto Bernama Fatiha Ghazali berkata demikian, berjaya menarik perhatian pengunjung yang teruja melihat paparan foto-foto bersejarah sekali gus ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kandungan dan kisah di sebalik setiap imej yang dipamerkan.
“Kebanyakan pengunjung tertarik melihat paparan gambar dan bertanya mengapa foto-foto ini dipamerkan. Kami menerangkan bahawa setiap berita yang disiarkan Bernama akan disertakan dengan gambar sebagai pelengkap maklumat.
“Foto-foto ini merupakan gambar iringan berita yang dimuat naik ke dalam platform Bernama Images, merangkumi koleksi sejak tahun 1980 hingga kini,” katanya ketika ditemui di Karnival HAWANA 2025 di ruang legar Sunway Putra Mall.
Fatiha berkata Bernama telah menjalankan proses pengimbasan semula, bagi memastikan gambar-gambar yang dirakam sebelum era digital boleh disimpan dan diakses dalam format digital seperti Bernama Images .
"Selain foto-foto yang kita ada ini, kita guna sebaik mungkin dengan menerbitkan buku. Memandangkan kami mempunyai foto dan maklumat berkaitan, maka kami boleh menghasilkan satu produk yang lengkap dan bermakna," katanya.
Antara penerbitan buku yang pernah dihasilkan termasuk koleksi khas bergambar sempena lawatan pemimpin asing dan acara kenegaraan hasil kerjasama Bernama bersama Pejabat Perdana Menteri serta Istana Negara.
Sementara itu, Penerbit Bernama Radio Nor Hayati Yaakub berkata objektif mereruai Mini Konti Bernama adalah untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat, khususnya mereka yang berminat menceburi bidang kewartawanan dan ingin mengetahui proses penyiaran berita yang sebenar.
Beliau berkata melalui reruai itu pihaknya menjemput semua tetamu dan penaja Karnival HAWANA 2025 untuk berkongsi maklumat serta perkembangan terkini masing-masing.
Pegawai Pemasaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Mohd Hizaimi Senin pula berkata sepanjang karnival tiga hari itu, DBP mengetengahkan buku-buku karya Sasterawan Negara serta koleksi edisi segar memuatkan 28 judul karya penerima Sea Write Award yang dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Beliau berkata antara tokoh yang diketengahkan menerusi koleksi tersebut ialah Lim Swee Tin, Suhaimi Muhammad dan Othman Puteh, yang turut mendapat perhatian pencinta sastera.
Mohd Hizaimi berkata DBP turut membawa pelbagai genre lain termasuk novel kanak-kanak, kamus dan majalah, memastikan pengisian pameran bersifat inklusif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Antara buku yang mendapat sambutan hangat ialah Mitos Peribumi Malas karya Syed Hussein Alatas yang mencatatkan jualan sekitar 500 naskhah sepanjang PBAKL 2025.
“Turut diperkenalkan ialah siri buku kanak-kanak bertajuk 'Penghayatan Hadis 40', yang terdiri daripada 10 judul khas bertujuan mendidik kanak-kanak dengan nilai-nilai murni berasaskan hadis Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Karnival HAWANA 2025 berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dan ia merupakan sebahagian daripada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, HAWANA menganjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial