KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka mampu menyokong dan membangunkan industri media di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sekali gus memastikan perkembangan yang inklusif serta saksama di semua wilayah.
Menzahirkan harapan ini, Ahli Lembaga Pengasas MMC merangkap Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching Ronnie Teo Teck Wei bagaimanapun berkata terdapat keperluan yang membabitkan sistem sokongan utama kepada agensi serta pengamal media tempatan.
“Saya amat berbesar hati kerana menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, mewakili Sarawak.
“Saya berharap dengan penubuhan MMM, kita dapat menyokong dan membangunkan industri media di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan perkembangan yang inklusif serta saksama di semua wilayah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan media tempatan khususnya di Sarawak susulan kemajuan pesat teknologi.
“Kita perlu bertindak sebagai sistem sokongan utama untuk agensi dan pengamal media tempatan sekali gus membantu perkembangan industri berkenaan khususnya di Sarawak susulan kemajuan pesat teknologi.
“Ia juga penting untuk menjaga kebajikan petugas media dan meminta pemilik organisasi media untuk bertanggungjawab terhadap amalan buruh yang adil serta pelaporan yang beretika,” katanya.
Wakil Gerakan Media Merdeka (GERAMM) Mohd Radzi Abdul Razak pula merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Lembaga Pengasas MMM.
Beliau berkata penubuhan MMM adalah langkah penting dalam usaha jangka panjang bagi memperkukuh ekosistem media negara yang lebih bebas, bertanggungjawab dan profesional.
“Sejak lebih sedekad yang lalu, GERAMM bersama rakan-rakan pengamal media telah memperjuangkan penubuhan sebuah badan pengawalseliaan kendiri yang benar-benar bebas daripada campur tangan politik dan kepentingan sempit.
“Pelantikan saya ke dalam Lembaga Pengasas ini adalah satu amanah untuk memastikan semangat asal perjuangan tersebut terus dibawa ke dalam proses pembentukan dasar, garis panduan dan kerangka kerja Majlis Media Malaysia,” katanya.
Mohd Radzi juga berkata beliau komited dalam memastikan MMM antaranya berfungsi secara bebas, adil dan telus dalam mengawal selia industri media selain mengalu-alukan pandangan serta saranan daripada semua pihak agar MMM benar-benar berfungsi sebagai sebuah badan yang dihormati, bebas dan diyakini.
Pengumuman senarai Lembaga Pengasas MMM dibuat oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Lembaga Pengasas MMM turut dianggotai Pengurus Besar Borneo Post dan Utusan Borneo Wong Yang Yong, Ketua Editor Daily Express Datuk Sardahthisa James, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran Jeyachandran dan Ketua Pengarang Astro Awani Ashwad Ismail.
Anggota lain ialah Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Teh Athira Mohamed Yusof, Presiden Pertubuhan Media Tamil Malaysia S. Muthameez Manan, Mohd Azmyl Md Yusof, tokoh akademi Gayathry S. Venkiteswaran, Celine Lim dan Terence Ooi Guan Tseng.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial