Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tabung Kasih@HAWANA Beri Sokongan Moral Kepada Penerima

14/06/2025 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA terus memperlihatkan komitmennya terhadap kebajikan pengamal media apabila tiga lagi penerima memperoleh manfaat daripada inisiatif itu hari ini.

Penyunting Meja Berita The Star Ng Li Yiao, 56, berkata pemberian sumbangan sebegini membuatkan beliau yang menghidap kanser payudara berasa dihargai atas sumbangannya selama 31 tahun dalam bidang kewartawanan.

“Sumbangan ini bukan untuk menampung kos perubatan tapi untuk keperluan seharian kerana orang yang menghidap penyakit perlu makanan berkhasiat dan kita tahu makanan berkhasiat ini mahal.

“Bantuan ini memberikan makna yang besar kepada saya selaku ibu tunggal yang membesarkan dua anak kembar, yang kini sedang menuntut di universiti," katanya selepas menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. 

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat media negara. 

Sementara itu, Rusmin Fadzil, 62, berkata sumbangan yang diterima dapat membantu membeli keperluan apabila dimasukkan ke wad bagi menjalani rawatan penyakit kulit thrombotic thrombocytopenic purpura atau TTP yang dihidapinya.

“Sumbangan sebegini penting bagi pengamal media yang tidak lagi bekerja dan mempunyai pendapatan. Dengan adanya sumbangan sebegini, ia dapat membantu meringankan beban kewangan saya.

“Saya mula disahkan menghidap TTP ini pada Oktober 2022 dan perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan,” katanya yang pernah bertugas di Karangkraf selama lebih 30 tahun.

Penyunting Makkal Osai Murugan Perumal,67, pula berkata beliau amat terharu apabila terpilih sebagai seorang daripada penerima Tabung Kasih@HAWANA pada hari ini.

Murugan yang mempunyai pengalaman selama 41 tahun dalam bidang kewartawanan berkata sumbangan kepada pengamal media ini perlu diteruskan pada masa akan datang supaya dapat meringankan beban kewangan pengamal media yang menghidap penyakit ketika masih bertugas atau setelah berpencen.

Sejak dilancar pada sambutan HAWANA 2023 di Ipoh, Perak, Tabung Kasih@HAWANA memberi manfaat kepada 441 pengamal media seluruh negara dengan sumbangan melebihi RM1.2 juta.

Tabung Kasih@HAWANA diwujudkan sebagai inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan melalui Bernama, bagi menyantuni wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara, serta berdepan kesulitan kewangan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan