KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bakal memperkukuh bidang kuasa serta memperluas peranan sektor itu dalam mengangkat agenda transformasi TVET di negara ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail berkata sekiranya direalisasikan, suruhanjaya itu boleh berfungsi sebagai badan bebas dan berautonomi dengan kuasa dalam penggubalan dasar, penetapan standard serta pemantauan pelaksanaan program TVET di seluruh negara.
Beliau berkata berbeza dengan Majlis TVET Negara yang hanya berperanan sebagai platform dasar dan penyelarasan tanpa kuasa perundangan, Suruhanjaya TVET berupaya meluluskan program, mengawal selia institusi dan menjamin kualiti pendidikan, selari dengan sistem pendidikan arus perdana.
“Ia juga mampu menyelaras fragmentasi sistem TVET yang ketika ini melibatkan pelbagai kementerian, di samping memastikan kolaborasi antara industri, institusi dan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih konsisten,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya TVET sebagai langkah memastikan pendidikan TVET dapat diperkasakan lagi.
Sementara itu, Prof. Dr. Mohamad Sattar Rasul Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Kebangsaan Malaysia berpandangan, suruhanjaya itu akan membolehkan pemantauan pelaksanaan program TVET dibuat dengan lebih berkesan.
“Kuasa memantau pelaksanaan TVET dalam negara sangat penting untuk mengharmonikan sistemnya kerana banyak program yang dijalankan oleh pelbagai kementerian kini saling bersaing antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata penubuhan suruhanjaya tersebut akan menjadikan landskap pendidikan dan latihan teknikal negara lebih teratur dan efisien.
Mohamad Sattar turut menyifatkan bidang TVET sebagai pemacu utama ekonomi pada masa depan, selain menawarkan peluang pekerjaan luas untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Pengarah Utama, Pejabat Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Amir Akramin Shafie mencadangkan supaya keahlian anggota Suruhanjaya TVET perlu bersifat inklusif berdasarkan merit dan kepakaran serta tidak mendominasi satu sektor sahaja.
Menurutnya, keanggotaan suruhanjaya perlu melibatkan tokoh akademik, wakil industri dan dewan perniagaan, perancang ekonomi dan tenaga buruh, wakil institusi TVET awam dan swasta, pakar digitalisasi serta wakil komuniti.
Cadangan itu disokong Presiden Persatuan Pegawai Latihan Vokasional Malaysia Sarudin Rohseli yang menegaskan bahawa hala tuju latihan kemahiran hanya akan kekal relevan dan berkesan sekiranya suruhanjaya dianggotai individu yang benar-benar terlibat secara langsung dalam bidang tersebut.
“Keahlian perlu terdiri daripada sekurang-kurangnya 10 hingga 20 orang yang aktif dalam latihan kemahiran. Kita tidak perlukan terlalu ramai profesor atau jurutera bertauliah kerana mereka cenderung kepada pendekatan akademik semata-mata,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial