Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Facebook, TikTok, YouTube Turunkan 159,518 Kandungan Berkaitan Judi, Penipuan Dalam Talian -- Fahmi

12/06/2025 03:06 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Platform media sosial Facebook, TikTok dan YouTube telah bersetuju menurunkan sebanyak 159,518 kandungan berkaitan aktiviti perjudian, penipuan dalam talian, buli siber serta penyebaran berita palsu setakat semalam, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 174,473 kandungan dalam talian yang dimohon untuk diturunkan sepanjang tahun ini.

“Daripada jumlah yang saya nyatakan tadi, kira-kira 160,000 kandungan telah berjaya diturunkan, dengan 51 peratus daripadanya melibatkan aktiviti perjudian dalam talian, 25 peratus berkaitan penipuan dalam talian, 12 peratus membabitkan buli siber dan sembilan peratus lagi penyebaran berita palsu.

“Daripada jumlah tersebut, 57 peratus melibatkan platform Facebook, 28 peratus di TikTok dan 13 peratus di YouTube. Selebihnya melibatkan platform lain dalam jumlah yang lebih kecil, namun ketiga-tiga platform ini mewakili hampir 95 peratus daripada keseluruhan masalah yang kita kenal pasti dalam media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi (KK) di Menara Komunikasi di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata walaupun tindakan menurunkan kandungan seumpama itu telah dilaksanakan, masih terdapat kebimbangan terhadap kewujudan kandungan eksploitasi kanak-kanak dalam talian, khususnya di Facebook.

“Maka saya tertanya-tanya, adakah undang-undang dan tahap kerjasama sedia ada sudah mencukupi, atau kita perlu pendekatan yang lebih strategik dan efisien untuk menangani isu ini.

“Kita sedia maklum bahawa pada penghujung tahun lalu, operasi Op Pedo Bersepadu telah dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan pelesenan platform media sosial oleh kerajaan awal tahun ini, Fahmi berkata langkah tersebut bertujuan memastikan platform berkenaan lebih selamat digunakan, terutamanya oleh golongan kanak-kanak.

Katanya usaha kerajaan tidak terhenti di situ apabila Parlimen turut meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 pada Disember lepas, yang bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

“Untuk makluman semua, satu akta baharu iaitu OnSA telah diluluskan di Parlimen, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan kini sedang dalam proses untuk dikuatkuasakan,” katanya.

OnSA memberi kuasa kepada MCMC untuk mengenakan tindakan ke atas platform media sosial yang ingkar terhadap tanggungjawab mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan