Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Teknologi Perlu Digunakan Dengan Beretika Bagi Menjamin Kredibiliti Kewartawanan - Suhaimi

10/06/2025 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kepelbagaian teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) perlu digunakan dengan beretika dan cermat khususnya dalam kalangan wartawan bagi memastikan kredibiliti profesion itu sentiasa terjaga, kata Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman.

Beliau berkata meskipun penggunaan AI dapat membantu wartawan menghasilkan berita lebih berkualiti dalam masa yang singkat namun ia perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab.

“Kemudahan AI itu hadir bersama sebuah tanggungjawab yang besar khususnya melibatkan etika dan perundangan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kredibiliti kewartawanan.

“Sebagai contoh, RTM kini menggunakan teknologi robot AI dalam penyampaian berita di mana skrip yang dibacakan diteliti terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaian etika yang ditetapkan,” katanya ketika menjadi tetamu Jendela Fikir bertajuk 'HAWANA 2025: Menjulang Etika, Mendepani Era Baharu' terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Suhaimi turut menyarankan agar setiap wartawan memahami implikasi penggunaan AI termasuk isu hak cipta, penggunaan suara dan imej yang boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Apabila kita pergi kepada satu teknologi baharu, ada banyak perkara yang mungkin kita tidak tahu dan mungkin kita boleh tukar imej orang ini, kita boleh pakai suara orang ini, penyalahgunaan mungkin berlaku.

“Kita tidak boleh gunakan sembarangan, kena pastikan suara individu yang digunakan itu dikenakan bayaran atau tidak, hak cipta dan sebagainya,” katanya.

Bersempena Sambutan HAWANA 2025, beliau berharap  wartawan dapat mempelbagaikan kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai aspek khususnya teknologi agar dapat menghasilkan berita serta program lebih bermakna untuk membina sebuah bangsa yang hebat.

HAWANA 2025 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 13 hingga 15 Jun, dengan acara kemuncak pada 14 Jun akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lebih 1,000 pengamal media dari dalam serta luar negara dijangka hadir.

  --BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan