Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Presiden Poland Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

10/06/2025 11:44 AM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Presiden Poland Andrzej Duda yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi ini.

Ketibaan Duda yang diiringi isterinya Agata Kornhauser-Duda di Kompleks Perdana Putra pada 10 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan majlis sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Duda kemudiannya memeriksa barisan kehormatan oleh tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai oleh Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Minister Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Instiusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, diplomat, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Ini merupakan lawatan sulung Duda ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden pada Ogos 2015, yang dilakukan beliau pada waktu yang cukup signifikan, semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh tahun pertama 2025.

Duda kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan Anwar.

Perbincangan dijangka meneroka kerjasama kukuh kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan komoditi pertanian.

Anwar kemudiannya meraikan kehadiran Duda dan delegasi dengan majlis jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata Duda dijadual mengadakan lawatan ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson dan menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Lawatan itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.

Pada 2024, Poland adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan