GERIK, 9 Jun (Bernama) -- Jambangan bunga daripada wang kertas yang digubah sendiri sempena hari lahir ibu menjadi pemberian terakhir Muhammad Adib Hazim Halim, 21, sebelum dia terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Banun Gerik awal pagi ini.
Abang arwah, Muhammad Aiman Hazman Halim, 32, berkata jambangan bunga itu sebagai tanda kasih kepada ibu mereka Rus Lina Abd Razak, 69, sempena sambutan hari lahir yang diraikan bersama keluarga pada Ahad lepas.
“Adib memang suka menghasilkan pelbagai gubahan. Sebelum ini dia juga pernah buat gubahan untuk kakak sempena tamat latihan Sukarelawan Polis Siswa/Siswi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik di sini hari ini.
Muhammad Aiman berkata Adib adalah seorang anak yang taat dan tahfiz al-Quran serta sangat disayangi oleh adik-beradik.
Beliau berkata mereka sekeluarga mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas melihat gambar kemalangan yang tular di media sosial.
“Sebelum kejadian ummi (ibu) ada ambil gambar bas yang dinaiki Allahyarham dan kongsi dalam group (WhatsApp) keluarga. Jadi bila ada gambar viral kita tahu Adib terbabit dalam kemalangan.
“Ummi pun sebelum sambut hari lahir ada menangis dalam bilik tanpa mengetahui kenapa hatinya berasa sebak dan tak sangka perkara ini yang terjadi,” katanya.
Jenazah Muhammad Adib Hazim akan disolatkan di surau Kampung Pasir Badak dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.
Dalam kejadian yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan MPV di JRTB berhampiran Tasik Banding, Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial