Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lima Sekeluarga Maut: Ibu Saudara Sempat Telefon Mangsa

07/06/2025 04:31 PM

JERANTUT, 7 Jun (Bernama) -- ‘Kalau dah sampai situ, tak jauh dah dari simpang rumah Mak Ngah’, ungkapan terakhir sebelum perbualan telefon antara Norhayati Ismail, 60, bersama mangsa Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, terputus. 

Nur Arfiqah antara mangsa daripada lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 7 Jalan Jerantut-Maran tengah malam tadi. 

Turut terkorban, pemandu kereta Mohamad Ikmal Ishak, 26, adik kepada Nur Arfiqah, iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17. 

Norhayati berkata ketika panggilan itu terputus dia mula berasa tidak sedap hati dan cuba berkali-kali  menghubungi semula mangsa.  

“Kemudian, saya terdengar seseorang cakap, ‘eh, dia orang ni pengsan kot’. Selepas itu, saya terdengar bunyi isyarat kereta … selepas itu ada orang jawab dan bercakap, ‘ada kemalangan di Batu 58’,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Jerantut di sini hari ini. 

Norhayati kemudian meminta suami menelefon anaknya, Muhammad Azuwan Arif Shah, 34, untuk pergi ke lokasi kejadian yang hanya 500 meter dari rumahnya. 

Selain itu, Muhammad Azuwan tidak menyangka niat lima sekeluarga itu untuk datang menyambut  Aidiladha di rumah ibunya di Paya Gunung di sini, bertukar tragedi. 

“Selepas saya dapat panggilan daripada mak, Saya terus ke tempat kejadian dan tiba di sana saya melihat ada seorang mangsa terbaring atas jalan, saya terus berlari ke kereta mangsa dan saya melihat ada lagi dua orang tersepit di dalam kereta dan tidak sedarkan diri. 

“ … Saya cakap pada orang ramai yang ada di situ untuk cari dua lagi sepupu saya, tiba-tiba nampak mangsa berada dalam anggaran 10 meter,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad berkata nahas dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Alphard yang dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke bandar Jerantut berlanggar dengan Perodua Bezza yang dipandu Mohamad Ikmal.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan