KUANTAN, 6 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, baginda berdua menyifatkan Aidiladha sebagai hari untuk umat Islam mendalami erti pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT.
“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS wajar menjadi pedoman kepada kita semua dalam menempuh dugaan serta mengutamakan kebajikan ummah,” titah baginda berdua.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Aminah bertitah agar rakyat dapat menghayati hikmah Aidiladha dengan memperkukuh perpaduan, memperbanyak amal ibadah dan terus berdoa agar Pahang serta Malaysia sentiasa diberkati, aman dan sejahtera.
Baginda berdua turut mendoakan agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT serta membawa keberkatan dan penyatuan dalam masyarakat.
“Semoga sambutan ini diraikan dengan penuh rasa syukur, harmoni dan kasih sayang sesama insan,” menurut hantaran itu.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook pula menyeru umat Islam agar melihat makna pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan kesabaran Nabi Ismail AS.
“Semoga semangat ketaatan dan keikhlasan mereka menjadi pedoman dalam kehidupan kita dan ibadah korban kita diterima Allah SWT, membawa ketenangan jiwa dan mendekatkan diri kepada-Nya.
"Semoga segala pengorbanan kita baik waktu, tenaga mahupun harta dibalas Allah SWT dengan pahala berlipat ganda,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial