Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rayuan SIS Forum Cabar Fatwa Diketahui 19 Jun

06/06/2025 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam akan diketahui 19 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ketika dihubungi hari ini.

"Tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak menerusi e-mel oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu," kata peguam itu.

Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama, yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan