Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aidiladha Peluang Hayati Makna Pengorbanan, Kebersamaan - Aaron

07/06/2025 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Sambutan Aidiladha wajar dijadikan titik pertemuan hati untuk merenung makna pengorbanan dalam konteks kemanusiaan dan semangat kebersamaan, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata sambutan Aidiladha bukan sekadar melakukan ibadah korban, tetapi juga satu simbol pengorbanan, keikhlasan dan kesatuan.

"Nilai-nilai ini amat penting dalam membina sebuah negara yang aman dan harmoni," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aaron dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha, esok.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula mengajak seluruh umat Islam bersama-sama menghayati makna sebenar pengorbanan, bukan sekadar dalam bentuk ibadah tetapi juga dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemai nilai kasih sayang dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

“Aidiladha mengajar kita bahawa pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan adalah asas kepada sebuah masyarakat yang bersatu dan sejahtera.

“Saya mendoakan agar ibadah korban tahun ini diterima oleh-Nya dan menjadi titik tolak kepada kehidupan yang lebih diberkati, harmoni dan berprinsip. Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata hari yang penuh keberkatan ini hadir sebagai peringatan tentang erti sebenar pengorbanan, keikhlasan dan kepatuhan.

“Aidiladha juga menyatukan hati kita dalam semangat memberi dan menyantuni sesama insan. Semoga amalan korban yang dilaksanakan menjadi cerminan rasa syukur dan empati kepada mereka yang memerlukan.

“Kepada para jemaah haji, Duyufurrahman yang kini berada di Tanah Suci, kami mendoakan semoga segala ibadah dipermudah dan dikurniakan haji yang mabrur,” katanya menerusi hantaran di media sosial sama.

Beliau turut mendoakan agar hari yang mulia ini disambut dengan penuh kesyukuran, ketenangan dan kebersamaan dan berharap semangat Aidiladha memberi kekuatan kepada semua umat Islam untuk terus berbakti serta memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kehidupan seharian.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam hantaran di Facebook berkata Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi juga seruan kemanusiaan, pengorbanan dan ketaatan yang merentasi zaman.

Beliau berkata Aidiladha juga mengingatkan tentang amanah menjaga kesihatan kerana jasad ini milik Allah SWT, maka umat Islam perlu berkorban daripada tabiat yang memudaratkan dan meneruskan hidup sihat sebagai tanda syukur atas nikmat tubuh yang dikurniakan.

“Di saat dunia berdepan pelbagai krisis ketidaksamaan, penderitaan manusia dan kemerosotan nilai, Aidiladha mengajak kita kembali kepada asas untuk beribadah dengan ikhlas, berkongsi dengan tulus dan memperjuangkan keadilan serta ihsan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Aidiladha kali ini menjadi titik tolak lembaran baharu dalam hidup untuk terus tabah dan ikhlas bagi menunaikan amanah perjuangan dan pengorbanan.

“Buat para Duyufurrahman yang sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, semoga dikurniakan kekuatan dan kemabruran dalam melaksanakan setiap manasik dengan sepenuh hati,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Hari Raya Aidiladha mengingatkan manusia tentang erti ketaatan dan keikhlasan sebenar, sebagaimana pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang menjadi lambang keimanan yang tulus kepada Allah SWT.

“Semoga semangat pengorbanan ini menambah ketaqwaan, keinsafan dan memperteguh ketaatan kepada Allah SWT dan kepada para jemaah haji, kami titipkan doa agar diberi kesihatan, keselamatan serta dikurniakan haji yang mabrur,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan