Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

100 Ekor Lembu Korban Dijual Murah Di Parlimen Permatang Pauh

05/06/2025 08:42 PM

BUKIT MERTAJAM, 5 Jun (Bernama) -- Sebanyak 100 ekor lembu ditawarkan pada harga RM399 bagi setiap bahagian, separuh daripada harga pasaran dalam usaha membantu meringankan beban penduduk Parlimen Permatang Pauh melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada Sabtu ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata program itu dilaksanakan menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang mengambil inisiatif menyediakan setiap ekor lembu seberat bermula 220 kilogram.

“Menerusi program khas ini, setiap ekor lembu dijual dengan harga RM2,800 dan setiap bahagian RM399. Buat permulaan tahun ini, ia ditawarkan kepada penduduk di Parlimen Permatang Pauh sahaja kerana hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan golongan kurang berkemampuan dapat melaksanakan ibadah korban.

“Walaupun Permatang Pauh bukan parlimen Perdana Menteri, beliau sangat dekat dengan kawasan ini, sebab itu beliau kalau boleh mahu membantu penduduk di sini meringankan beban dan dapat buat korban dengan harga mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Tapak Pasar Malam Taman Arowana di sini hari ini.

Menerusi program itu, sebanyak 40 kawasan termasuk anak kariah masjid dan surau, ahli badan bukan kerajaan serta kakitangan agensi kerajaan di Parlimen Permatang Pauh yang membeli telah menerima agihan lembu korban itu.

Shamsul Iskandar berkata jualan termurah itu tidak melibatkan subsidi daripada kerajaan kerana pasukan NACCOL sendiri yang membeli terus di ladang dengan jumlah yang banyak dan dibawa terus kepada pengguna.

Beliau berkata pihak NACCOL mendapatkan lembu-lembu korban itu secara pukal melalui kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Johor Plantations Group Bhd.

“Mengikut perancangan NACCOL, program itu akan diperluaskan di parlimen lain pada tahun hadapan dalam usaha membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban di kawasan mereka.

“Saya bagi contoh ahli kariah menerusi Masjid Kubang Ulu di Parlimen Permatang Pauh telah membeli 17 ekor lembu. Harga biasa mencecah RM95,000 tetapi menerusi inisiatif ini mereka hanya membayar RM47,000 dan ini jelas menunjukkan penjimatan hampir separuh,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Kanan kepada Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan NACCOL Muhamad Nur Akramin Sulaiman berkata semua lembu yang dijual untuk ibadah korban itu adalah baka Kedah Kelantan (KK) dan jenis lembu integrasi iaitu haiwan itu tidak makan makanan palet.

“Kita buka jualan lembu korban ini tiga minggu lepas dan dalam tempoh itu, ia mendapat permintaan yang tinggi daripada penduduk di Parlimen Permatang Pauh. Kita harap harga termurah ini sedikit sebanyak dapat memberikan impak kepada golongan berpendapatan rendah melaksanakan korban,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan