Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengamal Media Pantai Timur Teruja Sertai Latihan AI Oleh Bernama

05/06/2025 08:28 PM

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Latihan AI-Powered Content Creation & Editorial Automation yang dikendali oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di pantai timur mampu memberi pendedahan kepada pengamal media di sini tentang kebaikan teknologi itu dalam membantu urusan pekerjaan mereka.

Rata-rata peserta berkata meskipun sebelum ini mereka mengetahui dan menggunakan teknologi tersebut namun latihan dua hari bermula semalam itu memberikan mereka ilmu lebih mendalam tentang pelbagai tools dalam pelbagai aplikasi berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan.

Wartawan sambilan Kosmo! Nursyasya Nadhirah Zabidin, 29, berkata melalui latihan itu, beliau dapat mengetahui kaedah untuk menghasilkan berita dengan mudah dan lebih kreatif.

“Bagus dan sangat berguna latihan seumpama ini sebab sebagai wartawan muda, memang saya sudah agak terdedah dengan AI tetapi tidak sepenuhnya. Sekarang saya tahu banyak tools yang saya boleh guna untuk bantu saya buat skrip berita.

“Namun saya sedar ketepatan dan ketelusan fakta yang diberikan oleh aplikasi berkaitan AI seperti ChatGPT perlu disemak terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama.

Ketua Berita Ehwal Semasa Terengganu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Murni Ali pula berkata meskipun menggunakan teknologi AI agak sukar bagi golongan di usia pertengahan sepertinya namun modul yang dipelajari dalam latihan itu mudah untuk difahami dan diikuti.

“Sekarang ini kita telah melalui revolusi industri, jadi mahu atau tidak saya yang telah berusia 50 tahun ini perlu juga belajar tentang teknologi seperti AI.

“Sebagai wartawan senior, saya ingin menasihati wartawan muda supaya tidak melupakan nilai-nilai etika kewartawanan di samping menggunakan teknologi AI yang memudahkan urusan kerja kita,” katanya.

Bagi Ketua Biro Bernama Kelantan Muhammad Afiq Mohd Asri, latihan itu membuka perspektif baharu kepadanya bagaimana teknologi boleh dimanfaat untuk mempertingkat kecekapan kerja daripada peringkat perancangan kandungan sehinggalah kepada penerbitan akhir.

“Saya mula melihat AI bukan sekadar alat sokongan tetapi sebagai rakan strategik dalam mempercepat dan mempermudah tugasan seharian.

“Sepanjang latihan, saya diperkenal kepada pelbagai aplikasi dan platform AI yang mampu membantu dalam menjana kandungan secara automatik, menyunting teks dengan lebih cepat dan tepat serta mengenal pasti trend semasa melalui analisis data masa nyata,” katanya. 

Seramai 25 pengamal media di Terengganu dan Kelantan menyertai latihan itu

Terengganu merupakan lokasi kelima penganjuran latihan itu selepas Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak dan Sabah.

Pusat Kecemerlangan Bernama bertindak sebagai penyelaras kursus AI di bawah peruntukan Program Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan