KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memanggil semula beberapa saksi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) pada prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata mereka dipanggil pada prosiding yang berlangsung pada Selasa dan semalam bagi mendapatkan penjelasan serta keterangan terhadap beberapa isu yang didapati daripada prosiding sebelum ini.
Antara saksi yang hadir ialah bekas Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Yusof, Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Goh Ching Yin dan Pengarah Eksekutif Khazanah Wong Shu Hsien.
“PAC komited meneruskan prosiding berhubung pengurusan lapangan terbang awam walaupun Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah menjadi milikan penuh konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional pada 22 Feb 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PAC memulakan prosiding berhubung isu itu pada 17 Feb lepas dan setakat ini sebanyak lapan prosiding telah diadakan.
Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata PAC juga akan meneruskan prosiding isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mulai 17 hingga 19 Jun ini.
Beliau berkata antara saksi yang dipanggil ialah wakil daripada BNM, KKM, syarikat insurans, Third Party Administrator, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial