KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) secara rasmi menganugerahkan dua gelaran profesional berprestij di bawah Skim Pensijilan Profesional OSH iaitu SHP (Profesional Keselamatan dan Kesihatan) dan OSHTr. (Pelatih Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan).
Presiden MSOSH Ahmad Fakhrul Anuar Ismail dalam kenyataan hari ini berkata rangka kerja itu dibangunkan untuk memperakui pengamal dan jurulatih OSH yang cekap, berwibawa dan komited, selaras dengan piawaian profesional tertinggi di Malaysia.
“Individu yang diperakui telah menjalani proses penilaian yang berstruktur dan ketat yang mencerminkan kepakaran, tingkah laku beretika dan sumbangan dalam dunia sebenar kepada bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Gelaran pascanominal yang diberikan bukan sekadar simbolik, ia adalah penanda aras profesional kredibiliti dan komitmen,” katanya.
Ahmad Fakhrul Anuar berkata gelaran SHP menandakan kecemerlangan profesional dalam amalan OSH, kecekapan yang diperakui dan standard etika serta komitmen kepada penambahbaikan berterusan dan pembangunan OSH negara.
Beliau berkata gelaran OSHtr. pula mewakili keupayaan lanjutan sebagai jurulatih OSH yang diperakui, kemampuan yang terbukti untuk membangunkan dan menyampaikan program latihan berimpak serta merupakan peranan kepimpinan dalam membentuk pengetahuan dan amalan OSH dalam industri.
“Pengiktirafan ini tidak mudah diperoleh, ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar menerapkan nilai, pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh seorang profesional atau jurulatih OSH sebenar.
“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha strategik MSOSH untuk meningkatkan standard kebangsaan profesion OSH, membuka laluan kerjaya lebih luas untuk individu berkelayakan serta menggalakkan pengiktirafan rasmi untuk peranan OSH dalam industri dengan gelaran tersebut masih terhad,” katanya.
Ahmad Fakhrul Anuar berkata kumpulan seterusnya Skim Pensijilan Profesional OSH dibuka hari ini dan penyampaian gelaran rasmi akan diadakan pada Simposium Antarabangsa OSH Asia (AIS-OSH).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial