Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SFC, UNIMAS Berjaya Kumpul Lebih 1,000 Benih Spesies Pokok Terancam Borneo

03/06/2025 05:01 PM

KUCHING, 3 Jun (Bernama) -- Lebih 1,000 benih pokok Kapur Empedu atau nama saintifiknya Dryobalanops fusca, sejenis spesies terancam berjaya dikumpulkan menerusi inisiatif bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini.

SFC memaklumkan kejayaan itu dilakar di Sanktuari Hidupan Liar Samunsam di Sematan, kira-kira 100 kilometer dari sini sebagai sebahagian daripada inisiatif penting untuk menyelamatkan spesies endemik Borneo ini daripada kepupusan.

“Pengumpulan ini amat signifikan kerana ia berlaku sewaktu kejadian pembungaan dan pembuahan yang jarang berlaku, dengan kitaran ini hanya terjadi sekali-sekala di Sarawak,” menurut hantaran di Facebook rasmi SFC hari ini.

SFC memaklumkan benih-benih ini akan digunakan dalam ‘Program Rewilding’, satu inisiatif  pemuliharaan yang akan melibatkan kaedah pemuliharaan di kawasan semula jadi dan pemuliharaan di luar kawasan asal.

“Matlamat utama adalah untuk menyemai, membesarkan dan menanam semula benih-benih ini ke habitat asalnya,” menurut hantaran itu.

SFC memaklumkan Kapur Empedu merupakan pokok bersaiz gergasi yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 meter, mendominasi kanopi hutan dipterokarpa di Sarawak dan Kalimantan, penting bukan sahaja untuk industri perhutanan kerana kayunya yang bernilai tinggi tetapi juga kepada ekosistem hutan.

“Ketinggiannya yang luar biasa menjadikannya penyumbang utama kepada struktur hutan, menyediakan habitat dan perlindungan kepada pelbagai hidupan liar seperti burung dan primat,” menurut kenyataan itu.

Kapur Empedu berstatus spesies yang sangat terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) dan Senarai Merah Tumbuhan Sarawak.

Status ini menunjukkan ancaman besar terhadap kelangsungan spesies di habitat asal, dengan pembalakan haram, kebakaran hutan serta kehilangan habitat akibat pembangunan menjadi antara ancaman utamanya.

“Kapur Empedu ialah spesies endemik Borneo, ia hanya boleh ditemui di pulau ini. Di Sarawak, kehadirannya terbatas kepada kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano. Perlindungan kawasan habitat amat diperlukan bagi memastikan kelangsungannya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan