Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Laporan Teknikal Putra Heights Akan Dilengkapkan Pada 26 Jun Ini - Amirudin

03/06/2025 06:43 PM

SHAH ALAM, 3 Jun (Bernama) -- Laporan teknikal berhubung insiden letupan saluran dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April, dijangka dilengkapkan 26 Jun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata laporan siasatan itu juga, akan diselaraskan dengan hasil siasatan jenayah, sebelum dimaklumkan kepada umum.

“Siasatan jenayah kita tak boleh keluarkan sekarang, kerana kita kena cantumkan sekali dengan siasatan teknikal kerana masih ada ruang yang perlu dikenal pasti daripada siasatan jenayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan teknikal di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pula meliputi keutuhan paip, pergerakan tanah, selain menentukan sama ada sebarang aktiviti di kawasan itu memberi tekanan kepada saluran gas.

Pada 27 Mei, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan siasatan polis serta JKKP berhubung kebakaran saluran gas di Putra Heights, dijangka dikeluarkan pada hujung Jun.

Hussein berkata siasatan oleh polis yang turut meliputi unsur kecuaian atau khianat telah selesai dilakukan, dan pihaknya sedang menunggu JKKP melengkapkan siasatan mereka.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan