KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Pelakon veteran Mano Maniam yang popular dengan watak “Uncle Chan” dalam sitcom Kopitiam meninggal dunia pada usia 79 tahun, malam tadi.
Perkara tersebut disahkan oleh adik lelakinya Madi Maniam ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Pemergiannya disebabkan faktor usia dan berlaku secara semula jadi. Namun, butiran lanjut masih belum dimuktamadkan bersama pihak keluarga. Majlis pengebumian dijangka akan diadakan pada hari Isnin ini di Bliss Gardens, Shah Alam,” katanya.
Dilahirkan pada 15 Nov 1945, Mano merupakan pelakon, pengarah, penulis, tenaga pengajar lakonan dan penggiat suara sejak 1965.
Mendiang Mano juga pernah membintangi filem pecah panggung Hollywood Anna and the King, serta siri Netflix Marco Polo, selain muncul dalam beberapa drama tempatan berbahasa Inggeris dan Tamil yang ditayangkan di televisyen.
Meskipun usia mencecah 70-an, Mano kekal aktif dalam dunia seni menjalankan kerja alih suara dan mengajar lakonan kepada warga emas di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC).
Suara mendiang juga pernah dipinjamkan untuk watak Tok Din dalam animasi Kampung Boy bagi alih suara Bahasa Inggeris, serta pernah membintangi filem Hikayat Merong Mahawangsa.
Madi turut berkongsi bahawa Mano sepatutnya menerima satu anugerah malam ini di HGH Convention Hall, Sentul sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada masyarakat India dan perkembangan seni persembahan tanah air.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial