Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kemalangan Maut Di Kuala Krai-Gua Musang: Majlis Nikah Anak Diteruskan

31/05/2025 03:51 PM

KOTA BHARU, 31 Mei (Bernama) -- Walaupun masih dalam keadaan berduka kerana kehilangan tiga ahli keluarga serentak, Hasmah Awang, 60, dan keluarganya sepakat untuk meneruskan majlis pernikahan anak lelakinya yang dijadualkan berlangsung hari ini di Besut, Terengganu.

Hasmah berkata anak ketiganya, Muhd Syafiq Abdul Rahim, 24, melangsungkan akad nikah dengan ditemani anak bongsu, Siti Zulaika, 21, serta beberapa rakan rapat sementara ahli keluarga lain menguruskan jenazah anak sulung, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, dan cucu, Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, serta suami Nur Atikah, Mohamad Faris Kamaluddin, 24.

Tiga sekeluarga itu maut apabila kereta Perodua Myvi yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Jalan Kuala Krai–Gua Musang, semalam.

“Kami akan mengadakan majlis tahlil esok dengan kira-kira 100 tetamu, yang sepatutnya adalah kenduri menyambut menantu,” katanya kepada pemberita di Kampung Kayu Rendang, Melor di sini hari ini.

Hasmah berkata jenazah Nurul Ain masih ditunggu manakala jenazah, Nur Atikah Najihah dan Mohamad Faris dijangka dibawa ke Johor Bahru.

Ibu kepada empat anak itu berkata dia dan suami, Abdul Rahim Mat Diah, 71, tidak dapat menemani Syafiq pada majlis pernikahan kerana perlu membuat persiapan pengebumian yang dijadualkan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Merah di sini.

“Jenazah Nur Atikah Najihah dan Mohamad Faris kini dalam perjalanan dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya.

Sementara itu, anak kedua Hasmah, Siti Zubaidah, 37, meluahkan rasa terkejut dengan kejadian itu kerana sebelum ini mereka sekeluarga sebenarnya merancang untuk berkumpul di kampung sempena majlis perkahwinan Syafiq.

“Berita kemalangan itu saya dapat tahu daripada adik bongsu tapi saya tidak percaya hingga Syafiq sendiri menghubungi dan menunjukkan gambar kereta yang dinaiki kakak bersama anak dan menantunya,” katanya.

Semalam media melaporkan tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dan bas ekspres di Jalan Kuala Krai–Gua Musang. 

Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung sempena majlis perkahwinan keluarga mereka di Kampung Kayu Rendang, Melor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan