KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) akan memfokuskan kerjasama lebih strategik, bagi memastikan penyampaian maklumat tepat dan bertanggungjawab dalam membina persefahaman antara rakyat Malaysia dan Indonesia mencapai ke tahap lebih tinggi.
Presiden ISWAMI Malaysia Ashwad Ismail berkata kerjasama ISWAMI Malaysia dan Indonesia sejak 2005 sebagai jambatan memperkukuh hubungan media Malaysia dan Indonesia, perlu melihat cabaran-cabaran semasa termasuk gelombang Kecerdasan Buatan (AI).
“Dalam era sekarang yang sarat dengan ketidaktentuan dan dunia yang berpecah belah, ditambah pula gelombang Kecerdasan Buatan (AI) yang melanda setiap sisi kehidupan bermasyarakat dan bernegara, media selaku penggagas idea dan pendiri bangsa harus berperanan lebih agresif mendepani cabaran dalam membina kemakmuran serantau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertemuan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Viada Hafid di Tokyo hari ini, dengan kedua-dua pihak menekankan peranan penting ISWAMI dalam mempererat hubungan media kedua-dua negara.
Sehubungan dengan itu, Ashwad berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan bersama rakan-rakan media di Indonesia, bagi merangka pelan tindakan bersama yang merangkumi pertukaran wartawan, program latihan profesional serta penganjuran forum dan dialog media serantau.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memperkukuh kapasiti media kedua-dua negara, dalam membina kebertanggungjawaban media dengan kewartawanan yang inklusif dan berorientasikan penyelesaian.
Ashwad berkata dalam era cabaran digital dan penyebaran maklumat yang rencam dan pantas, kerjasama erat dalam kalangan media adalah amat penting, untuk memastikan penyampaian maklumat tepat, bertanggungjawab dan membina persefahaman antara rakyat.
Beliau berkata dengan semangat setiakawan, ISWAMI percaya media, wartawan dan pencipta kandungan boleh menjadi ejen penting dalam membina kemakmuran bersama antara masyarakat kedua-dua negara.
“ISWAMI bukan sahaja menjadi jambatan memperkukuh jaringan wartawan profesional, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui penceritaan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh,” katanya.
Sementara itu, Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan menyambut baik usaha mengukuhkan lagi kerjasama media kedua-dua negara.
“Hubungan pemimpin kedua-dua negara sudah sangat mesra sejak dahulu, namun di aras masyarakat, terutama pada era media sosial yang tidak lagi memiliki batas wilayah, kebenaran informasi dan verfikasi menjadi sangat penting. ISWAMI terus mengambil peranan bertukar dan menyebarkan informasi yang dapat dipercayai,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial