PENAMPANG, 30 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gejala rasuah di negara ini perlu ditangani secara tegas berlandaskan prinsip serta perundangan, dan bukannya dengan persepsi, fitnah atau maki hamun.
Beliau berkata Kerajaan MADANI tidak akan sesekali membenarkan pemimpin memunggah hasil serta kekayaan negeri dan negara bagi menjadikan diri mereka kaya sementara rakyat hidup dalam kesusahan, sedangkan negara ini mempunyai undang-undang yang wajib dipatuhi bagi memberi keadilan kepada semua.
Justeru, dalam dakwaan video rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Anwar berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu berdasarkan prosedur dan undang-undang, namun beliau kesal ada pihak membangkitkan persepsi kononnya kerajaan menutup kes terbabit.
“Tuduhan bahawa kita menutup (kes rasuah) itu persepsi. Dibangkitkan persepsi, terutama di bandar seolah-olah ada usaha untuk menutup rasuah dan kesalahan, mereka mahu saudara saudari yakin negara ini tidak selamat.
“Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi, bukan negara tuduhan dan fitnah,” kata beliau ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Majlis sambutan yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau berkata siasatan terhadap perkara itu masih berjalan dengan video-video yang dikemukakan perlu diteliti, justeru semua pihak seharusnya memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan terbabit.
Anwar berkata walaupun memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tidak sama sekali campur tangan dalam kes dakwaan rasuah dan menjelaskan setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing berdasarkan sistem perundangan negara.
“Saya bukan diktator, saya ikut hukum, perlu melalui proses (perundangan). Siasat itu kerja SPRM atau polis, dakwa itu kerja peguam negara, hukum itu kerja hakim dan saya sebagai Perdana Menteri harus jaga supaya sistem itu berjalan dengan lancar dan berkesan.
“Bukan Perdana Menteri siasat, dakwa, hukum, hal itu diktator namanya … kita pernah lalui (situasi itu) suatu ketika dahulu, saya tahu, jadi jangan minta saya ulangi sistem seperti dahulu,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial