Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Berpotensi Sebagai Peneraju Utama Sektor Pelancongan Pendidikan Global - NAPEI

29/05/2025 10:36 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei  (Bernama) -- Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menjadi peneraju utama dalam sektor pelancongan pendidikan global dengan memanfaatkan kekuatan dalam bidang pendidikan, kepelbagaian budaya dan kemampuan kos bagi menarik pelajar antarabangsa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI) Datuk Lau Wai Cheng berkata sektor pelancongan pendidikan menyediakan peluang kepada Malaysia untuk mempelbagaikan sektor pelancongan di samping menunjukkan kekuatan sistem pendidikan negara.

“Menerusi permintaan global semakin meningkat terhadap pelancongan berasaskan pengalaman, pelajar antarabangsa dan keluarga semakin cenderung mencari program yang menawarkan lebih daripada sekadar pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kemampuan, kepelbagaian budaya dan persekitaran menggunakan bahasa Inggeris menjadikan Malaysia sesuai untuk memanfaatkan perkembangan pelancongan pendidikan yang semakin pesat, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang menyediakan pengalaman pembelajaran melalui gabungan pendidikan, budaya dan pembangunan diri.

Lau berkata Malaysia berjaya menerajui penyampaian pengalaman pembelajaran yang imersif, relevan, menyeluruh dan berdaya saing di peringkat global hasil kerjasama kukuh, rangka kerja dasar serta ketersediaan institusi.

“Kami bukan sekadar mempromosikan program melalui pelancongan pendidikan. Kami turut membantu membina persefahaman, memperkasa komuniti dan membentuk masa depan dengan pendidikan melangkaui sempadan serta memberi impak berkekalan,” katanya.

Ad Banner

Lau berkata selama tiga dekad, NAPEI telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan swasta serta memperluaskan kehadirannya di peringkat global.

Beliau berkata melalui penglibatan bersama ahli institusi, persatuan itu mempromosikan piawaian tinggi dalam penyampaian akademik serta menyokong inisiatif yang memperluaskan capaian pendidikan Malaysia di peringkat global.

Menurut beliau, ahli NAPEI telah menawarkan kursus pendek kepada pelajar yang ingin meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di samping mendalami budaya Malaysia, merangkumi pengalaman budaya dan warisan, kerjasama dengan sekolah tempatan, penginapan bersama keluarga angkat, pelancongan sukan, aktiviti berasaskan alam sekitar dan ekopelancongan serta modul selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Format ini memberikan pelajar antarabangsa khususnya dari negara jiran, peluang untuk mengenali masyarakat dan nilai kita dengan lebih mendalam. Pendekatan ini sejajar dengan usaha negara seperti inisiatif Edu+ bersama Tourism Malaysia yang bertujuan memperluaskan akses kepada pengalaman pembelajaran jangka pendek berasaskan budaya,” katanya.

Beliau berkata institusi Malaysia telah memperoleh kedudukan dalam 50 terbaik bagi bidang utama seperti kejuruteraan petroleum, pengurusan hospitaliti dan rekreasi, pendidikan serta sains data dalam Penarafan QS World University Rankings but Subject 2025.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pendidikan yang dipercayai di rantau ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata penyertaan Malaysia dalam Expo 2025 Osaka merupakan langkah penting untuk memperkenalkan potensi pelancongan pendidikan negara kepada khalayak antarabangsa dengan tumpuan khusus kepada Jepun.

“Kami melihat Expo ini sebagai peluang untuk memulakan perbincangan bermakna dengan keluarga Jepun, pendidik dan pihak berkepentingan institusi.

“Kami meningkatkan kesedaran mengenai keupayaan Malaysia untuk menganjurkan pengalaman pembelajaran jangka pendek menyeluruh, mendengar pandangan rakan dari Jepun untuk lebih memahami kehendak mereka serta menonjolkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi pendidikan selamat, mudah diakses dan kaya dengan budaya.

“Kami yakin Jepun akan memainkan peranan penting dalam fasa seterusnya perkembangan pelancongan pendidikan Malaysia. Kami sedia bekerjasama untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran bermakna dan memberi tumpuan kepada pelajar, selaras dengan nilai kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan