Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Dalam Peringkat Akhir Bidaan Presiden Persidangan UN-Habitat - Nga

28/05/2025 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia dalam peringkat akhir untuk bidaan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

Mengetuai delegasi peringkat tinggi di Nairobi, Kenya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pihaknya mengadakan mesyuarat dua hala hari ini di Ibu Pejabat UN-Habitat bersama wakil dari Mexico untuk mengukuhkan sokongan dan bertukar pandangan berhubung pencalonan itu.

Beliau berkata dalam pertemuan penting dengan Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Hak Asasi Manusia Mexico Enrique Javier Ochoa Martinez itu, delegasinya belajar daripada pengalaman Mexico sebagai Presiden Persidangan UN-Habitat dari 2019 hingga kini.

“Malaysia tetap komited untuk meneruskan momentum usaha cemerlang dan impak positif yang dicapai daripada presiden terdahulu.

“Kami tetap teguh dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala menerusi platform ini untuk dialog yang membina dan hasil bermakna,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M. Noor Azman Taib dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad merupakan antara peserta delegasi itu.

Ad Banner

Persidangan UN-Habitat berperanan sebagai badan pembuat keputusan peringkat tertinggi mengenai pembandaran mampan dan penempatan manusia dalam sistem PBB.

Diadakan empat tahun sekali, persidangan itu menetapkan isu utama dan keutamaan dasar untuk tindakan UN-Habitat.

Presiden persidangan itu dilantik secara bergilir dalam kalangan kumpulan serantau dalam sistem PBB itu dan presiden seterusnya dari rantau Asia-Pasifik, untuk berkhidmat selama empat tahun iaitu 2026 hingga 2029.

Selain itu, Nga berkata Malaysia juga bersedia untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Azerbaijan, Iran dan Brazil.

Penglibatan Malaysia di Nairobi menandakan langkah strategik ke hadapan dalam memajukan visi untuk pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan inovatif menerusi kepimpinan dalam platform UN-Habitat,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan