KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Waris bekas petugas syarikat media Mohd Khairi Mazlan yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 25 Mei lepas, menerima manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman Allahyarham semasa hayatnya.
Perkeso dalam kenyataan memaklumkan caruman terakhir Allahyarham pada Jun 2021 melayakkan keluarganya menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara sekali bayar sebanyak RM3,000 serta bayaran berkala Pencen Penakat RM2,553 yang akan disalurkan mulai hujung bulan ini.
Balu Allahyarham, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, menyifatkan bantuan itu sebagai rahmat dan amat membantu terutama dalam menyara empat anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun termasuk seorang yang memerlukan perhatian khas.
“Alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan Perkeso di sini, hari ini.
Allahyarham Mohd Khairi pernah berkhidmat bersama Utusan Malaysia, New Straits Times (NST) dan Dagang News.
Sementara itu, Perkeso menyifatkan pemergian Mohd Khairi yang merupakan ketua keluarga sebagai kehilangan yang tiada galang ganti namun agensi itu komited memastikan setiap pencarum dan waris mereka dilindungi sewajarnya.
Menurut Perkeso perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan kepada yang tersayang walaupun selepas ketiadaan mereka.
"Inilah tujuan utama Perkeso ditubuhkan demi memastikan pencarum dan waris ditinggalkan tanpa sokongan, lebih-lebih lagi ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup mereka,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Perkeso menyeru majikan agar memastikan caruman dilakukan secara konsisten bagi melindungi kebajikan pekerja dan keluarga mereka sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial