Oleh WAN MUHAMMAD ASLAH
KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN 2025 Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pujian ahli ekonomi terkenal dunia Prof Dr Jeffrey D. Sachs, yang menyifatkan usaha Anwar dalam menangani krisis Myanmar sebagai konstruktif, dan sejajar dengan aspirasi kolektif kumpulan serantau itu.
Profesor dari Universiti Columbia dan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB itu berkata pendekatan proaktif Malaysia mencerminkan diplomasi yang bertanggungjawab, bukan campur tangan, dalam memupuk keamanan dan kestabilan ASEAN.
“Saya rasa kepimpinan ASEAN dalam usaha memastikan wujudnya keamanan dalam rantau ASEAN adalah amat penting dan sangat membina.
“Itu bukan campur tangan, ia tidak seharusnya dibantah,” katanya dalam temu bual selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau memuji peranan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN dalam menangani situasi Myanmar, dan menyifatkan Perdana Menteri sebagai "seorang pemimpin yang luar biasa" yang memanfaatkan kedudukannya untuk memudahkan penyelesaian dalam kalangan negara ASEAN.
"Ini bukan campur tangan dalam erti kata satu negara menceroboh hal ehwal dalaman negara lain. Ia mengenai usaha membantu ASEAN untuk berjaya, berkembang maju dan aman secara dalaman.
"Saya menyokong penuh apa yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim," kata Sachs.
Ditanya sekiranya ASEAN perlu mengembalikan semula prinsip yang dipakai sebelum ini berkaitan tiada campur tangan, selaras dengan krisis Myanmar yang masih berlarutan, Sachs tidak mencadangkan apa-apa dasar tertentu, tapi mengetengahkan kecenderungan global yang lebih luas ke arah kerjasama serantau yang kukuh.
“Kita berada dalam tempoh yang menyaksikan kumpulan serantau di seluruh dunia, bukan sahaja ASEAN, menjadi lebih kuat secara dalaman kerana mereka menyedari bahawa kejayaan setiap negara bergantung kepada kejayaan kumpulan itu,” katanya.
Beliau berkata peranan diplomatik ASEAN yang semakin meningkat, di peringkat dalaman dan global, adalah penting pada masa negara-negara menghadapi ketidaktentuan dan tekanan yang semakin meningkat, termasuk daripada kuasa global seperti AS.
"Dalam konteks ini, penampilan ASEAN yang kukuh sangat penting, dan kepimpinan sebenar dalam ASEAN amat diutamakan. Itulah yang ditampilkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahun ini, sangat berjaya,” kata Sachs.
Merujuk kepada mesyuarat serantau baru-baru ini, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, beliau berkata penglibatan peringkat tinggi ini mencerminkan pengawasan berkesan Malaysia dan komitmen ASEAN terhadap perpaduan dan kerjasama.
“Mesyuarat ini sangat penting dan satu inisiatif yang sangat berjaya bagi jawatan kepengerusian Malaysia,” katanya.
Antara pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak ini Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir Sidang Kemuncak ini ialah Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão sebagai pemerhati, dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Wakil GCC di sidang kemuncak itu termasuk Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa, dan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud dan Ahli Majlis Tertinggi UAE dan Pemerintah Ras Al Khaimah Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi turut hadir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial