KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Pakej 3 Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 mencipta sejarah apabila menerima tiga pengiktirafan daripada “Malaysia Book of Records” (MBOR) sekali gus membuktikan inovasi dalam kejuruteraan negara dan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
Tiga rekod yang dicipta itu melibatkan Sistem Paip Penghantar untuk Sisa Rawatan Air Pertama di Malaysia, Sistem Paip Penghantar Terpanjang untuk Sisa Rawatan Air iaitu 1,918 kilometer dan Sistem Penghantar Skru 'Shaftless' Terpanjang iaitu 46 meter.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Zulkiflee Omar menyifatkan pengiktirafan bagi projek yang menelan kos RM210 juta itu adalah pencapaian penting dalam sektor air Malaysia.
“Ini bukan projek infrastruktur biasa, ia satu inovasi kejuruteraan penting yang menumpu kepada tadbir urus alam sekitar yang mampan,” katanya pada majlis penyampaian anugerah MBOR di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor hari ini.
Projek LRA Langat 2 berupaya menyalurkan sehingga 1,130 juta liter air sehari (MLD) dan menjana sehingga 400 tan sisa air sehari, bergantung kepada kualiti air mentah yang disalurkan dari Sungai Semantan di Pahang melalui terowong sepanjang 45 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat, Selangor.
Zulkiflee berkata dianggarkan bahawa pengurusan sisa konvensional memerlukan sehingga 96 perjalanan lori sehari yang mencetuskan risiko keselamatan jalan raya, pelepasan karbon yang tinggi dan gangguan kepada kehidupan masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau berkata dengan penggunaan sistem paip penghantar yang baharu, sisa dipindahkan secara automatik sejauh kira-kira dua kilometer ke tapak pelupusan khas berhampiran Kolam Imbangan Bukit Enggang di Bandar Mahkota Cheras sekali gus mengelakkan daripada kenderaan berat berada di jalan raya.
“Sistem ini bukan sahaja menjimatkan minyak dan mengurangkan pelepasan karbon tetapi juga menyokong komitmen negara terhadap perubahan iklim yang mampan,” katanya.
Beliau berkata sistem tersebut mampu mengangkut 120 tan sisa sejam sepanjang lapan jam operasi harian sekali gus menggantikan keperluan kira-kira 35,000 perjalanan lori setahun yang secara tidak langsung membantu meningkatkan keselamatan, kecekapan operasi dan perlindungan alam sekitar.
Zulkiflee turut berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam kejayaan projek itu, khususnya kontraktor utama Salcon Engineering Berhad, perunding dan agensi kerajaan serta MBOR atas pengiktirafan tersebut.
“Projek ini membuktikan bahawa kemudahan awam juga boleh menghasilkan pendekatan yang inovatif, bertanggungjawab dan bertaraf dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial