Komentar Oleh Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 27 Mei (Bernama) - China melihat sidang kemuncak tiga pihak antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan negara itu di Kuala Lumpur bukan sekadar pertemuan diplomatik tetapi detik penting dalam kebangkitan Selatan Global di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Bagi China, pertemuan tiga hala yang julung kali diadakan itu bukan hanya simbolik semata-mata sebaliknya menandakan kemunculan paksi ekonomi dan strategik baharu yang bakal memecah dominasi perdagangan tradisional dikuasai Barat dan menawarkan visi alternatif pembangunan secara kerjasama.
Ini terbukti menerusi kenyataan Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning pada minggu lepas bahawa China ingin mengembangkan kerjasama praktikal dengan ASEAN dan negara anggota GCC dalam pelbagai bidang untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing, mencapai keputusan sama-sama menang dan mempertahankan kepentingan bersama Selatan Global.
Matlamat ini sejajar dengan usaha ASEAN untuk memupuk integrasi di rantau ini, sasaran GCC untuk mengurangkan pergantungan terhadap minyak dan mempelbagaikan ekonomi, ditambah dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China yang memfokuskan pada strategi pembangunan infrastruktur global.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, menganjurkan buat julung kalinya sidang kemuncak tiga pihak ASEAN-GCC-China yang disasarkan dapat membuka potensi besar bagi peluang kerjasama pelbagai hala.
Gabungan pengaruh besar ASEAN, GCC dan China sudah pastinya dapat mencorakkan semula dinamik ekonomi global.
ASEAN, yang kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kolektif sebanyak US$3.6 trilion, bukan sekadar hab pembuatan malah juga adalah pasaran pengguna yang sedang pesat berkembang dengan 700 juta populasi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada mesyuarat ASEAN semalam menyebut KDNK kolektif ASEAN diunjur berkembang 4.7 peratus pada 2025 daripada 4.2 peratus tahun lepas.
Manakala GCC yang disokong oleh rizab tenaganya yang besar bernilai hampir US$2 trilion (US$1 = RM4.24) dalam dana kekayaan negara, sedang mempelbagaikan ekonominya dengan pelbagai pelan seperti Wawasan 2030 Arab Saudi.
China pula yang merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia dengan KDNK US$18.6 trilion, memiliki kapasiti perindustrian, inovasi teknologi dan kepakaran infrastruktur yang luar biasa.
Gabungan ketiga-tiga rantau ini menyumbang hampir satu perempat daripada pengeluaran ekonomi global dengan jumlah pengguna melebihi 2.1 bilion orang - kuasa yang tidak boleh lagi dipandang remeh dalam tadbir urus global.
Apa yang menjadikan perkongsian ini berbeza adalah asasnya yang memberi manfaat bersama dan bukan sebaliknya kecenderungan terhadap ideologi. Demografi muda ASEAN dan limpahan sumber semula jadinya melengkapkan kehebatan pembuatan dan teknologi China, manakala modal kewangan dan matlamat pempelbagaian GCC sejajar dengan matlamat tenaga hijau dan pelaburan luar China.
Perdagangan antara rantau ini telahpun berkembang pesat, dengan perdagangan China-ASEAN mencecah 1.71 trilion yuan (US$234.17 bilion) tahun ke tahun pada suku pertama 2025, peningkatan sebanyak 7.1 peratus.
Sementara itu, perdagangan China-GCC mencecah lebih US$288 bilion pada 2024, dengan rantau Teluk membekalkan 40 peratus daripada import minyak mentah China.
Penyelarasan dasar juga semakin pantas.
Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 yang dimuktamadkan minggu lepas telah memperluaskan kerjasama dalam perdagangan digital dan pembangunan mampan, manakala rundingan perdagangan bebas China-GCC yang sedang berlangsung bakal mewujudkan salah satu blok perdagangan terbesar di dunia.
Sidang kemuncak itu berfungsi sebagai platform untuk menyelaraskan tiga strategi pembangunan transformatif, iaitu Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 dan Wawasan 2030 GCC.
Tatkala ekonomi Barat mengundur kebelakang dengan dasar perlindungannya, perkongsian ASEAN-GCC-China menawarkan model berbeza untuk membina daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian.
ASEAN telahpun mengatasi Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sebagai destinasi eksport utama China pada 2023, manakala pelaburan Negara Teluk dalam teknologi China, seperti inisiatif kecerdasan buatan Arab Saudi bernilai US$5.6 bilion, menandakan hubungan yang semakin mendalam melangkaui segmen tenaga.
Inisiatif Jalan Sutera Digital (DSR) oleh China terus mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua rantau ini dengan e-dagang rentas sempadan negara berjumlah 1.22 trilion yuan pada separuh pertama 2024, meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.
China dan rakan dagangnya sedang menenun jalinan ekonomi yang saling bertaut dan berdaya tahan menumpu kepada perkongsian bersama pembangunan dan bukan sebaliknya meluaskan monopoli. Inilah yang diberi penekanan oleh China dan dilaporkan setiap hari oleh media tempatan.
Seperti ASEAN dan GCC, kerjasama China dengan Negara-Negara Eropah Tengah dan Timur (CEEC) juga menunjukkan bahawa pendekatannya terhadap penglibatan global adalah berasaskan kepada saling kebergantungan ekonomi dan bukannya kuasa paksaan.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China sudah pastinya menjadi asas bagi Selatan Global untuk menetapkan agendanya pada masa depan memberi bayangan bahawa ekonomi dunia atau kemungkinan pusat graviti strategik sedang beralih arah.
Bagi Beijing, ini dilihat bukan sekadar sidang kemuncak tetapi sebagai asas kepada aturan baharu dunia yang mana pandangan Global Selatan diambil kira dan mempunyai pengaruh dalam membuat keputusan.
Perdana Menteri China Li Qiang menyertai sidang kemuncak itu atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini merupakan lawatan rasmi kedua Li ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2023. Beliau melawat Malaysia tahun lalu pada Jun sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial