KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Galeri Digital Imersif dan Eksploratif 'Teroka' akan diperkenalkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Mohd Khair Ngadiron berkata galeri ini dianjurkan bersempena dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 dan direka sebagai sebuah pengalaman interaktif melalui masa, menampilkan visual terpilih, bahan arkib, serta pemasangan digital terkini.
Beliau berkata galeri tersebut mengetengahkan evolusi tradisi kesusasteraan Malaysia, bermula daripada manuskrip lama hingga kepada perkembangan pesat industri buku negara, sambil meraikan warisan intelektual yang terus membentuk rantau Asia Tenggara.
“Galeri imersif ini mengajak pengunjung untuk berinteraksi dengan kebijaksanaan awal pemikir dari Malaysia dan Asia Tenggara, menelusuri jiwa bangsa melalui penceritaan, serta membayangkan aspirasi strategik kesusasteraan Malaysia di pentas global,” katanya dalam satu kenyataan.
Galeri itu terletak di Bilik Labuan, Aras 5, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dan menampilkan ruang pameran utama, foyer Teroka, sudut buku yang memaparkan koleksi terbaik buku Malaysia dari 2023 hingga 2025 serta ruang aktiviti interaktif seperti mencipta pantun dan kuiz.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial