Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 26 Mei (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Prof Dr Surakiart Sathirathai memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menerima pakai pendekatan yang sangat proaktif sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar.
"Negara-negara ASEAN harus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam meyakinkan semua pihak di Myanmar untuk memulakan gencatan senjata sebenar, dan meyakinkan semua pihak untuk mengadakan dialog inklusif.
"Kerajaan Myanmar perlu berusaha mencari jalan bagaimana mereka boleh menyatukan semua pihak yang terlibat dalam konflik, dan kumpulan pembangkang juga perlu memikirkan bagaimana mereka boleh menjadi lebih praktikal," kata Surakiart yang juga bekas Menteri Luar Thailand kepada Bernama dalam temu bual dari Bangkok.
Anwar telah bertemu ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan mengadakan dialog secara dalam talian dengan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Mahn Winn Khaing Thann semasa lawatannya ke Bangkok pada April lepas.
"Saya menamakan ia sebagai "pragmatisme berprinsip," kata Surakiart.
Ahli politik veteran itu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri Thailand antara 2005-2006 dan merupakan menteri luar dari 2001-2005.
Beliau kini adalah Pengerusi Majlis Keamanan dan Rekonsiliasi Asia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengumpulkan pemimpin pemikiran dan pakar mengenai keselamatan, keamanan dan pengurusan konflik bagi keamanan dan perdamaian di Asia.
Surakiart turut menggesa ASEAN memainkan peranan yang lebih konstruktif dalam pilihan raya akan datang, jika tidak, usaha mempromosi nilai-nilai demokrasi dan menamatkan perang saudara akan menjadi percubaan yang sia-sia.
"Peranan Pengerusi ASEAN akan menjadi sangat penting untuk meyakinkan Tatmadaw (angkatan tentera) bahawa pilihan raya tanpa dialog inklusif tidak akan membawa kepada keamanan yang mampan. Jika tidak ada keamanan yang mampan, ia tidak boleh memiliki demokrasi, kita tidak boleh menyelesaikan isu bantuan kemanusiaan.
“Punca konflik di Myanmar bukan sahaja (mengenai) demokrasi, tetapi ia adalah soal etnik, ia adalah sejarah, ia berakar umbi,” katanya.
Kerajaan pimpinan tentera negara itu bercadang mengadakan pilihan raya sama ada pada Disember atau Januari tahun depan.
Surakiart berkata ASEAN dan negara jiran seperti Bangladesh, China dan India perlu menyokong hasrat negara - "diterajui Myanmar, milik Myanmar mestilah untuk rakyat Myanmar" - untuk mencapai keamanan yang mampan.
Pemimpin ASEAN berhimpun di Kuala Lumpur pada Isnin, untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di bawah Kepengerusian Malaysia ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”.
Ia bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, dengan situasi di Myanmar merupakan antara tajuk utama yang dibincangkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial