Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Guardian Sumbang Lebih 40 Juta Mandian Kepada Kanak-kanak Kurang Bernasib Baik

26/05/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Rangkaian kesihatan, kecantikan dan farmasi runcit, guardian  telah menyumbang lebih 40 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di lima negara termasuk Malaysia sejak dua tahun lepas.

Pengarah Pemasaran guardian Malaysia Anna Ng berkata inisiatif serantau itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan akses kepada kebersihan diri sebagai satu hak asasi perlu dinikmati setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan kebimbangan mengenai tahap kebersihan diri dalam kalangan kanak-kanak selepas pandemik COVID-19, apabila peningkatan kos sara hidup menyebabkan banyak keluarga terpaksa mengetepikan perbelanjaan untuk penjagaan diri.

“Misi kami mudah tetapi sangat bermakna, memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada mandian bersih yang bukan sahaja memberi keyakinan diri tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan mental dan penglibatan lebih baik di sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ng berkata walaupun pencapaian 40 juta mandian merupakan hasil usaha gabungan lima pasaran serantau guardian, Malaysia terus memainkan peranan utama dalam menerajui inisiatif tempatan yang memberi impak besar terutamanya menerusi kempen “Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak”.

Kempen itu turut merangkumi bengkel kebersihan di sekolah bagi memperkasakan pelajar dengan pengetahuan dan amalan asas penjagaan diri.

Ad Banner

Beliau berkata kempen itu turut digerakkan oleh sokongan pelanggan guardian menerusi sumbangan sebanyak 15 sen bagi setiap pembelian produk mandian guardian bersaiz satu liter, menjadikan pembelian barangan harian sebagai satu bentuk sumbangan yang berimpak.

“Selama 57 tahun, guardian telah menjadi sebahagian daripada komuniti Malaysia. Janji jenama kami, #MYWellbeingMatters, melambangkan komitmen kami untuk menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu, guardian Malaysia turut aktif melaksanakan bantuan kecemasan sewaktu krisis dalam usaha berterusan memelihara kebajikan masyarakat,

Antara inisiatif itu ialah pengagihan 80 pek penjagaan diri kepada keluarga terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor dengan kerjasama MERCY Malaysia. 

Syarikat itu juga menyalurkan bantuan barangan penjagaan asas bernilai lebih RM140,000 kepada mangsa banjir di seluruh negara dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

Selain itu, guardian Malaysia turut memperkukuh komitmen dalam aspek kesihatan wanita apabila mengedarkan 10,000 kit pemeriksaan sendiri kanser payudara “Pink Glove” kepada golongan wanita kurang berkemampuan menerusi usahasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan