Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tapak Perkuburan Islam Baharu Di Hulu Semenyih Tampung Keperluan Selama 28 Tahun

26/05/2025 07:56 PM

PUTRAJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Pembukaan tanah perkuburan Islam di Hulu Semenyih, Selangor mampu menampung keperluan jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur selama 28 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini, beliau berkata penggunaan tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur telah mencapai kadar lebih 70 peratus setakat ini.

“(Tanah perkuburan di Kuala Lumpur) berbaki kapasiti hanya mencukupi untuk tempoh lima hingga tujuh tahun,” katanya. 

Dr Zaliha berkata perihal tanah perkuburan di Hulu Semenyih itu antara isu yang dibincang dalam pertemuan beliau dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama delegasinya di Menara Seri Wilayah di sini. 

Pada Ogos tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata jenazah masyarakat Islam di Kuala Lumpur bakal dikebumikan di kawasan tanah perkuburan baharu yang diwartakan kerajaan di Semenyih.

Mohd Na’im berkata tapak baharu dengan keluasan hampir 90 hektar itu bakal diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memandangkan tanah kubur di ibu kota dijangka bertahan hingga enam tahun sebelum semua lot penuh. 

Ad Banner

Sementara itu, Dr Zaliha turut membangkitkan isu pemuktamadan persempadanan antara Kuala Lumpur dan Selangor serta Putrajaya dan Selangor pada pertemuan tersebut bagi memastikan penguatkuasaan sempadan lebih bersepadu dapat dijalankan. 

Ia juga bertujuan memaksimumkan guna tanah bagi pembangunan terancang, memperkemas kutipan hasil tanah dan mengelak isu pencerobohan serta pertindihan kawasan.

“Pertemuan ini penting untuk memastikan pembangunan tersebut dilaksanakan secara inklusif dan memanfaatkan kedua-dua pihak secara menang-menang, baik Wilayah Persekutuan mahupun Selangor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan