KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Myanmar terus memainkan peranan aktif dan membina dalam kerangka ASEAN, terutamanya dalam memacu agenda ekonomi rantau ini, meskipun berdepan cabaran dalaman berterusan, kata Timbalan Setiausaha Agung untuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Satvinder Singh.
Bercakap dalam satu sesi libat urus baru-baru ini, beliau menekankan komitmen tidak berbelah bahagi Myanmar terhadap inisiatif ASEAN, dan menyatakan bahawa negara itu sebagai anggota penting dan kerjasama blok serantau itu.
“Dalam beberapa tahun lepas, apabila mereka melalui begitu banyak pergolakan di dalam negara, ia tidak menghalang mereka untuk memberikan sumbangan yang diperlukan dalam setiap inisiatif ASEAN.
“Malah, dalam mesyuarat yang mereka perlu menjadi tuan rumah, mereka tetap anjurkan … apabila ada perjanjian penting yang memerlukan undian, mereka melakukannya kerana dalam ASEAN, jika satu negara tidak mengundi, perjanjian terbabit tidak dapat diluluskan,” katanya pada taklimat awal mengenai Pelan Strategik AEC 2026-2030 di sini.
Justeru, katanya sumbangan Myanmar terhadap ASEAN tidak pernah terjejas.
Satvinder turut memuji persaudaraan dan solidariti dalam kalangan pemimpin ekonomi ASEAN, termasuk dari Myanmar, yang disifatkannya sebagai kuasa penting di sebalik kemajuan terkini blok berkenaan.
“Apabila saya duduk di sebelah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan melihat bagaimana pemimpin ini berbincang dan menyelaraskan isu ekonomi, perpaduan yang ditonjolkan sangat luar biasa. Solidariti itulah yang menggerakkan kemajuan AEC,” katanya.
Beliau berkata pendirian proaktif Myanmar dalam usaha perdagangan dan pembangunan serantau wajar mendapat pengiktirafan, khususnya ketika negara itu mengalami kesukaran yang boleh membawa kepada pemisahan.
“Kredit harus diberikan. Myanmar bukan sahaja mengambil bahagian, tetapi juga menyumbang secara bermakna,” katanya.
Untuk rekod, rampasan kuasa di Myanmar pada 2021 yang menggulingkan pemimpin Parti Liga Demokrasi (NLD) yang dipilih secara demokratik Aung San Suu Kyi, telah memburukkan lagi keadaan sehingga mendorong blok serantau itu untuk menghalang pemimpin junta daripada menghadiri sidang kemuncak dan mesyuarat peringkat menteri.
Namun begitu, pegawai kanan Myanmar terus menghadiri mesyuarat persediaan untuk sidang kemuncak ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Menteri luar ASEAN bersetuju bahawa usaha untuk terus terlibat dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar mesti diteruskan untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis berlarutan di negara itu.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, bercadang untuk melawat Myanmar bagi menyampaikan “senarai hasrat” yang dikumpul daripada pelbagai pihak berkepentingan kepada Majlis Pentadbiran Negara (SAC).
ASEAN juga akan menjalankan rundingan dalaman berhubung cadangan pelantikan Utusan Khas Tetap ASEAN mengenai Myanmar, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial