Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Langkah Trump Kenakan Tarif Jana Impak Positif Walaupun Dapat Kecaman Dari Seluruh Dunia - Pegawai EU

26/05/2025 04:09 PM

 

Oleh Mikhail Raj Abdullah and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) – Tindakan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung tarif yang mendapat kecaman dari seluruh dunia telah mendorong perkumpulan seperti ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) untuk mempercepat pembentukan pakatan, meningkatkan daya tahan ekonomi mereka terhadap risiko sedemikian.

Chris Humphrey, Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN yang berpangkalan di Singapura, berkata tarif yang dikenakan ke atas 168 negara sehingga mengganggu keseluruhan ekonomi global boleh menyebabkan para pegawai dari kedua-dua perkumpulan itu menilai semula Perjanjian Perdagangan Bebas EU-ASEAN, yang rundingannya telah ditangguhkan sejak 2009.

Ketika berada di Brussels baru-baru ini, katanya beliau menyedari bahawa cara pemikiran di Eropah telah berubah dengan ketara dan benua itu perlu melaksanakan lebih banyak capaian dan bekerjasama dengan rakan-rakan antarabangsa.

“ASEAN tiba-tiba diberi perhatian dalam agenda di Brussels susulan perkara tersebut,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 serta Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan sidang kemuncak ASEAN sebagai pengerusi ASEAN yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

EU mempunyai empat rundingan FTA yang sedang berlangsung di ASEAN, iaitu dengan Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Humphrey, semasa pertemuannya dengan Maros Sefcovic, Pesuruhjaya Eropah untuk Perdagangan dan Keselamatan Ekonomi di Singapura baru-baru ini, berkata Sefcovic telah menyatakan dengan jelas bahawa EU perlu mendapatkan perjanjian perdagangan ini dengan segera dan ‘perlu ada tolak ansur daripada kedua-dua pihak.’

Beliau juga berkata: “Trump jelas bertekad untuk mengganggu keseluruhan ekonomi global dan anda boleh mempunyai pandangan berbeza mengenai matlamat beliau dan justifikasi ekonomi di sebalik tarif yang dikenakan.’

“Saya secara peribadi berpendapat bahawa tarif yang dikenakan tidak masuk akal dan pendekatan itu amat pelik serta berkemungkinan besar akan membawa lebih banyak kerosakan kepada AS sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya antara impak positifnya ialah negara-negara mula menyedari bahawa mereka perlu melaksanakan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini dengan cara yang berbeza dan ini benar bagi Eropah, yang kini menyedari bahawa ia berada dalam hubungan (perdagangan) yang tidak adil dengan AS.

Kedua-dua blok (ASEAN dan EU) percaya kepada sistem perdagangan global berasaskan peraturan dan berhasrat untuk mengambil langkah ke arah menghijaukan ekonomi masing-masing.

“Apabila berkaitan perdagangan, mereka saling melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain,” katanya.

Mengenai tarif, katanya keadaan tidak akan menjadi lebih baik, malah lebih teruk dan Eropah perlu mencari lebih ramai rakan di peringkat global yang mempunyai cara pemikiran sama.

“Itu menunjukkan kepada Asia Tenggara dan secara automatik perkumpulan ASEAN.

“Anda akan melihat lebih banyak interaksi, lebih banyak lawatan peringkat tinggi dan lebih banyak perniagaan Eropah yang mula memberi tumpuan kepada Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata satu lagi tarikan ialah pertumbuhan ASEAN yang luar biasa.

Selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang sebanyak 4.7 peratus tahun depan daripada 4.2 peratus pada 2024, tarikan lain ASEAN termasuklah pembandarannya yang pesat, kelas pertengahan yang meningkat dan penduduk muda yang celik teknologi.

Beliau berkata kelebihan lain ASEAN ialah asas pembuatan yang kukuh dan bahan mentah penting yang boleh didapati - kesemuanya membantu rantau ini terus berkembang.

Katanya akan terdapat lebih banyak perdagangan dengan Eropah dan lebih banyak pelaburan dari benua itu.

“Bidang yang berpotensi untuk peningkatan kerjasama termasuklah tenaga, sokongan kepada Grid Tenaga ASEAN, automotif, pembangunan kenderaan elektrik, farmaseutikal dan semikonduktor,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan